Waktu lawatan semua hospital di Pulau Pinang, Terengganu dipendekkan

Dr Asmayani Khalib berkata, bilangan pelawat ke wad dihadkan dan kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah dilarang melawat pesakit di semua hospital di Pulau Pinang.

PETALING JAYA: Semua hospital kerajaan di Pulau Pinang dan Terengganu memendekkan waktu lawatan berkuat kuasa hari ini, susulan peningkatan kes Covid-19.

Pengarah Kesihatan Pulau Pinang, Dr Asmayani Khalib berkata, itu antara langkah diambil pihak berkuasa, selain mengehadkan bilangan pelawat ke wad dan melarang kanak-kanak berumur 12 tahun ke bawah melawat.

“Masa melawat di semua hospital di Pulau Pinang juga dipendekkan 1 tengah hari hingga 2 petang dan 5 petang hingga 6.30 petang setiap hari, termasuk cuti umum,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, peraturan itu berkuat kuasa serta-merta dan sebarang perubahan akan diberitahu kelak.

Sementara itu, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) menafikan penutupan sebuah kedai kopi di Bandar Baru Air Itam, di sini akibat Covid-19, sebaliknya premis tersebut ditutup atas faktor kebersihan.

MBPP berkata, kedai kopi itu diarahkan ditutup selama 14 hari bermula 6 Mac lalu selepas pemeriksaan pihaknya mendapati ia gagal mematuhi tahap piawaian kebersihan.

“Namun, tular mesej suara di WhatsApp mendakwa kedai kopi itu diarahkan tutup selepas seorang pesakit Covid-19 mengunjungi premis tersebut.

“Ia tidak benar kerana kedai berkenaan diarah tutup berikutan MBPP dalam operasi baru-baru ini mendapati ia tidak bersih.”

MBPP meminta orang ramai lebih bertanggungjawab dan tidak menyebarkan berita tidak sahih.

“Orang ramai boleh mendapatkan segala perkembangan terkini mengenai Covid-19 menerusi Kementerian Kesihatan.”

Dalam pada itu, Pengarah Kesihatan Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, waktu melawat di semua hospital kerajaan negeri itu dipendekkan 1 tengah hari hingga 2 petang dan 5 petang hingga 7 malam setiap hari, termasuk cuti umum.

“Pelawat yang mengalami gejala seperti demam atau batuk atau selesema tidak digalakkan melawat pesakit di hospital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, bilangan pelawat juga akan dikurangkan dan kanak-kanak 12 tahun ke bawah tidak dibenarkan melawat pesakit di wad.

“Peraturan ini berkuat kuasa serta-merta dan jika ada sebarang perubahan akan dimaklumkan kelak.”

Terengganu mempunyai 6 hospital kerajaan, iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu, Hospital Dungun, Hospital Kemaman, Hospital Hulu Terengganu, Hospital Besut dan Hospital Setiu.