2 pesuruhjaya Suhakam positif Covid-19, seorang kakitangan tunggu keputusan saringan

Pejabat Suhakam di Kuala Lumpur ditutup serta-merta dan didisinfeks setelah 2 pesuruhjayanya disahkan positif Covid-19.

PETALING JAYA: Dua pesuruhjaya Suhakam disahkan positif Covid-19, sementara seorang kakitangan lain menunggu keputusan saringan.

Jurucakap Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berkata, mereka hadir pada satu inkuiri awam ke atas kehilangan pastor Joshua Hilmy dan isteri, Ruth Sitepu yang diadakan pada awal Mac tahun ini.

Beliau berkata, pesuruhjaya pertama disahkan positif Covid-19 pada 2 Mac, sementara pesuruhjaya kedua pada 11 Mac.

“Kedua-dua mereka kini menjalani rawatan,” katanya dengan menambah bahawa kakitangan terbabit kini menunggu keputusan saringan selepas menunjukkan simptom virus berkenaan pada 13 Mac.

Difahamkan pejabat Suhakam di Kuala Lumpur ditutup serta-merta dan didisinfeksi. Kakitangan badan itu kini menjalani kuarantin kendiri di rumah masing-masing sehingga 25 Mac.

“Sesiapa yang tidak sihat semasa tempoh kuarantin akan mendapatkan rawatan,” kata jurucakap itu lagi.

Malaysia merekodkan 190 kes baru hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 428 kes. Majoriti kes adalah berkait dengan kes ke-26 dan perhimpunan tabligh yang diadakan di masjid Seri Petaling di Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac lepas.