8 daripada 11 kes baru Covid-19 di Sarawak berkait kluster himpunan tabligh di KL

Douglas Uggah Embas berkata, sebuah kumpulan petugas khas ditubuhkan untuk mengesan lebih 400 penumpang yang terbang dari Kuala Lumpur ke Sarawak melalui 4 lapangan terbang utama antara 2 hingga 5 Mac.

KUCHING: Lapan daripada 11 kes baru Covid-19 di Sarawak ada kaitan dengan perhimpunan tabligh di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur, menjadikan keseluruhannya 20 kes setakat ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak, Douglas Uggah Embas berkata, 8 kes dilaporkan di Miri dan masing-masing satu di Kuching, Bintulu serta Sarikei.

“Lapan kes di Miri ada kaitan dengan kluster yang menghadiri perhimpunan agama di Masjid Sri Petaling di Kuala Lumpur, kami masih mengenal pasti sumber untuk individu yang diuji positif virus itu di Kuching, Sarikei dan Bintulu,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jumlah kes positif meningkat sejak Jumaat lalu selepas 3 individu dari Kuching, termasuk 2 orang yang menyertai ijtimak tabligh di Kuala Lumpur dari 27 Feb hingga 1 Mac lalu, disahkan positif virus itu.

Uggah berkata, jawatankuasa itu sudah menubuhkan sebuah kumpulan petugas khas untuk mengesan lebih 400 penumpang yang terbang ke Sarawak melalui 4 lapangan terbang utama antara 2 hingga 5 Mac dari Kuala Lumpur.

Beliau turut menggesa orang ramai mengamalkan tahap kebersihan diri.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kesihatan, Aaron Dagang berkata perhimpunan lebih 50 orang patut ditangguhkan.

Katanya, orang ramai boleh mendapatkan perkembangan terkini Covid-19 di negeri ini melalui Facebook Sarawak disaster information.