Bukan masa bercakap tentang seragam patuh Syariah, Nufam beritahu timbalan menteri

Nufam berkata, keutamaan perlu diberikan kepada nasib 13,000 kakitangan Malaysia Airlines yang diminta mengambil cuti tanpa gaji 3 bulan berikutan pandemik Covid-19.

PETALING JAYA: Kumpulan kakitangan penerbangan, Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Penerbangan Malaysia (Nufam) meminta Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Keluarga, Siti Zailah Mohd Yusoff memastikan urutan keutamaannya tepat berhubung nasib anak kapal wanita dalam suasana ancaman wabak covid 19 dan kemungkinan kehilangan pekerjaan.

Bercakap kepada FMT, Nufam berkata, kini bukan masanya untuk timbalan menteri itu membincangkan mengenai pakaian seragam patuh syariah untuk pramugari.

“Kenapa bercakap tentang pakaian seragam mereka sekarang ketika pramugari sedang menghadapi begitu banyak masalah lain.

“Mereka tidak tahu sama ada mereka masih mempunyai pekerjaan. Jelas ini bukan masa yang tepat,” kata kumpulan itu menjawab kenyataan Siti Zailah sebelum ini yang mahu melihat pramugari memakai pakaian seragam patuh syariah.

Siti Zailah

Ahli Parlimen PAS itu dilaporkan berkata, beliau berharap dapat membawa isu pakaian seragam pramugari kepada Menteri Hal Ehwal Agama Zulkifli Mohamad.

Beliau juga berkata undang-undang perlu dipinda supaya ia selari dengan peruntukan syariah untuk umat Islam.

“Tetapi bagaimana dengan kebajikan mereka dalam industri penerbangan? Tidakkah dia (Siti Zailah) bimbang tentang itu,” katanya merujuk kepada 13,000 kakitangan syarikat penerbangan Malaysia Airlines yang diminta mengambil cuti tanpa gaji 3 bulan berikutan pandemik Covid-19.

Nufam berharap kementerian wanita akan mengkaji perlindungan kepada golongan pramugari di sebalik ancaman penularan wabak Covid-19 dan mencadangkan langkah agar mereka dapat terus bekerja dalam industri penerbangan.

“Ini adalah keutamaan.”

Sementara itu, ketika dihubungi FMT, seorang pramugari yang hanya mahu dikenali sebagai Alia, 23, berkata beliau dan rakan sekerja hairan mengapa isu tatacara pemakaian mereka tiba-tiba dijadikan isu dan agenda nasional.

Sedangkan katanya, setiap pramugari sudah maklum cara pemakaian seragam mereka yang tidak menutup aurat seperti yang ditetapkan oleh syarikat penerbangan masing-masing.

“Terpulanglah kepada mana-mana pramugari untuk berkerja di syarikat penerbangan yang mereka suka.

“Saya memilih Malindo Air kerana kain yang labuh dan belahan tepi kainnya yang selesa untuk berjalan,” katanya sambil menambah bahawa beliau sudah bekerja di 2 syarikat penerbangan terkemuka dalam tempoh 3 tahun.

Tambahnya, beliau dan rakan-rakan secara peribadi tidak selesa dengan kenyataan sesetengah ahli politik yang merujuk kepada etika pemakaian mereka.

Jelasnya, mereka dapat merasakan tanggapan negatif bahawa kerjaya mereka seolah-olah merendahkam maruah dan darjat wanita.

“Tapi kami berpendirian, selagi mana rezeki yang kami cari halal dan niat kami ikhlas bekerja, tiada keperluan meletakkan nasib dan maruah kami pada pihak lain,” katanya.