Covid-19: Menteri gesa majikan utama kebajikan pekerja

Menteri Sumber Manusia M Saravanan berkata, kementerian akan memantau dan menasihati majikan dalam setiap tindakan yang akan diambil lanjutan penularan wabak Covid-19 yang melibatkan kebajikan pekerja.

KUALA LUMPUR: Kementerian Sumber Manusia menasihatkan majikan, termasuk Malaysia Airlines Berhad (MAB) agar mengambil beberapa tindakan yang mengutamakan kebajikan pekerja berikutan penularan virus Covid-19.

Menteri berkenaan M Saravanan berkata antara tindakan yang perlu diambil ialah mematuhi peruntukan undang-undang perburuhan, perjanjian Kolektif sekiranya ada dan tatacara untuk keharmonian perusahaan (COC).

Selain itu, pihak majikan perlu meneruskan sesi libat urus dengan pekerja bagi memaklumkan perkembangan terkini berkaitan penyakit itu.

“Kementerian dalam satu mesyuarat bersama pihak pengurusan MAB pada 11 Mac lepas dimaklumkan mengenai beberapa tindakan awal yang diambil oleh pihak MAB sejak berlakunya penularan virus Covid-19.

“Antaranya penerangan kepada semua pekerja oleh ketua pegawai eksektif syarikat melalui sistem eVoice dan sesi libat urus pada 10 Mac,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Bagaimanapun, pihak MAB memaklumkan bahawa proses lantikan baru dan kenaikan pangkat akan dibekukan.

Pihaknya juga dimaklumkan bahawa pekerja turut digalakkan untuk mengambil cuti tidak berbayar secara sukarela bagi tempoh 3 bulan ataupun cuti tidak berbayar sebanyak 5 hari sebulan bagi tempoh 3 bulan.

“Permohonan secara sukarela itu perlu mendapat kebenaran dan kelulusan daripada Ketua Jabatan di MAB,” katanya.

Saravanan berkata kementerian juga dimaklumkan bahawa buat masa ini, tiada keperluan bagi pihak MAB melakukan pembuangan pekerja dan ia adalah langkah terakhir yang akan difikirkan oleh MAB.

Beliau berkata, Kementerian Sumber Manusia akan sentiasa memantau dan menasihat mana-mana majikan dalam setiap tindakan yang akan diambil lanjutan daripada penularan virus itu yang melibatkan kebajikan pekerja.

Ini bagi memastikan suasana keharmonian perusahaan di tempat pekerjaan akan kekal sihat dan kondusif tanpa menjejaskan kebajikan pekerja serta kelangsungan syarikat, katanya.