Covid-19: Wisma Putra sedia bawa pulang rakyat Malaysia di Itali, Iran

Menteri Luar Hishammuddin Hussein berkata, Wisma Putra kini dalam proses persiapan untuk membawa pulang rakyat Malaysia di Iran dan Itali.

KUALA LUMPUR: Wisma Putra sedang melaksanakan persiapan rapi bagi membantu melancarkan proses membawa pulang 323 rakyat Malaysia di Itali dan 55 orang di Iran, ekoran penularan Covid-19 yang semakin teruk di kedua-dua negara berkenaan.

Menteri Luar Hishammuddin Tun Hussein berkata, persiapan itu termasuk mengenal pasti kedudukan semua rakyat Malaysia di kedua-dua negara serta memastikan mereka mendaftarkan diri dengan pejabat kedutaan di Itali dan Iran.

“Ia amat penting bagi memudahkan mereka mendapat maklumat yang tepat serta terkini berhubung misi bawa pulang ini,” katanya di Facebook hari ini.

Beliau turut menyeru kepada rakyat Malaysia di Itali dan Iran, malah, di semua negara yang terjejas Covid-19 supaya kekal tenang serta bersabar.

Hishammuddin Tun Hussein

“Kerajaan termasuk Wisma Putra akan bantu yang terbaik. Yang penting, pastikan berhubung dari semasa ke semasa dengan perwakilan kita di sana. Marilah kita mendoakan semoga semua berjalan lancar,” katanya.

Pada 13 Mac, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengumumkan bahawa kerajaan akan membawa pulang rakyat Malaysia yang berada di Itali dan Iran ke tanah air menerusi misi khas.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini membawa pulang rakyat tempatan yang berada di Wuhan, China menerusi 2 misi bantuan kemanusiaan dan bencana (HADR).

Bagi misi pertama, kerajaan membawa pulang 107 orang terdiri daripada rakyat Malaysia dan ahli keluarga yang terkandas di wilayah Hubei pada 4 Feb, manakala misi kedua melibatkan 66 orang dari wilayah sama pada 26 Feb.