Hotel kurangkan kos selepas tempahan dibatal akibat Covid-19

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia, Yap Lip Seng berkata, hotel di seluruh negara mengalami kerugian lebih RM67 juta akibat pembatalan tempahan yang menjejaskan hampir 160,000 bilik setakat 9 Mac lalu.

PETALING JAYA: Hotel sedang mengurangkan kos, termasuk membenarkan kakitangan mengambil cuti tanpa gaji, menggalakkan cuti tahunan dan menghentikan kerja lebih masa ketika industri pelancongan berdepan impak akibat penularan Covid-19.

Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Hotel Malaysia (MAH), Yap Lip Seng berkata kakitangan pengurusan di sesetengah hotel turut mempertimbangkan potongan gaji secara sukarela.

Setakat 9 Mac lalu, katanya, hotel di seluruh negara mengalami kerugian lebih RM67 juta daripada pembatalan tempahan yang menjejaskan hampir 160,000 bilik.

Negeri paling teruk terjejas ialah Kuala Lumpur, Sabah dan Selangor, dengan majoriti tempahan dibatalkan pelancong China.

Bukan itu saja, hotel turut menghabiskan lebih banyak wang bagi melindungi harta benda dan keselamatan pelanggan.

“Sejak virus itu mula tersebar, hotel memulakan saringan suhu badan kumpulan pelancong terpilih berdasarkan nasihat Kementerian Kesihatan.

“Mereka turut meningkatkan pembersihan dan pembasmian kuman premis dengan bahan kimia disyorkan, khasnya di kawasan ramai orang,” kata Yap kepada FMT.

Beliau berkata, hotel turut menyediakan cecair pembasmi kuman serta penutup hidung dan mulut kepada pelanggan yang memerlukan.

Pengurus sebuah hotel butik di Melaka, Sally (bukan nama sebenar) memberitahu FMT, langkah sedemikian memerlukan belanja agak banyak, walaupun untuk hotel kecil.

“Kadar penginapan kami jatuh 20%, tetapi syukur pelanggan kami kebanyakannya pelancong bebas dan perseorangan.

“Hotel yang terjejas teruk ialah mereka yang bergantung kepada pelancong berkumpulan. Sesetengahnya mengalami kadar penginapan satu angka.”

Walaupun hotelnya tidak teruk terjejas, Sally berkata, kos menjaga kebersihan dan keselamatan premis adalah mahal.

“Kami sediakan penutup hidung dan mulut serta cecair pembasmi kuman kepada pelanggan dan harganya lebih tinggi berbanding biasa. Kerja nyahkuman bilik setiap hari sangat mahal kerana bahan kimia yang digunakan mahal.”

Katanya, bahan nyahkuman 2 liter berharga kira-kira RM300 dan langkah mencegah hotel daripada penularan Covid-19 berharga kira-kira RM10,000 sebulan.

“Disebabkan premis kami kecil, kami tidak mengambil terlalu ramai pekerja, jadi buat masa ini, tiada keperluan mengurangkan waktu kerja atau meminta kakitangan bercuti.

“Tetapi kami tidak boleh mengelak daripada mengeluarkan lebih banyak kos kerana keselamatan pelanggan menjadi keutamaan.”

Hotel bajet turut tidak terkecuali, tetapi mereka cuba mengatasi kemerosotan ketibaan pelancong dengan menarik pengunjung tempatan, khasnya dengan cuti sekolah yang sudah bermula.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia, Emmy Suraya Hussein memberitahu FMT, mereka menyertai pameran pelancongan anjuran persatuan pelancongan.

“Kami turut mempromosikan hotel kami dengan kadar dan pakej menarik, serta bekerjasama dengan syarikat penerbangan, termasuk Malaysia Airlines dan Malindo untuk pelancong tempatan.

“Tetapi, dengan gelombang ke-2 Covid-19, kami bimbang pelancong tempatan juga tidak mahu melancong.”

Jika keadaan bertambah buruk, Emmy berkata, hotel bajet mungkin perlu meminta kakitangan mengambil cuti tanpa gaji bagi mengurangkan kos berbanding menutup perniagaan mereka dan menyebabkan pekerja kehilangan kerja.