Jangan jemput wakil kerajaan negeri dalam acara agensi persekutuan, kata Bung Moktar

Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin berkata, langkah memanggil menteri atau wakil kerajaan negeri ke acara jabatan atau agensi pusat adalah seperti mensabotaj kerajaan Perikatan Nasional.

KOTA KINABALU: Pengerusi Umno Sabah Bung Moktar Radin hari ini mengingatkan ketua jabatan dan agensi persekutuan supaya tidak lagi memasukkan pemimpin daripada gabungan kerajaan Sabah ke dalam program dan aktiviti mereka

Katanya tindakan sedemikian dalam kalangan pegawai kerajaan pusat adalah seumpama mensabotaj kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Saya memandang serius perkara ini dan ia tidak seharusnya berlaku kerana PN kini adalah kerajaan persekutuan susulan tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH).

“Ketua semua jabatan dan agensi persekutuan di Sabah perlu sedar dan faham bahawa semua menteri dan wakil daripada parti pemerintah negeri adalah pembangkang di peringkat persekutuan pada masa ini,” katanya di sini, hari ini.

Pada Sabtu, ketua penerangan Umno Sabah Ghazalie Ansing menggesa Kementerian Pendidikan mengambil tindakan terhadap pengarah pendidikan Sabah Mistrine Radin kerana menjemput pembantu menteri Warisan untuk merasmikan satu acara di Beaufort baru-baru ini.

Pendidikan merupakan bidang kuasa persekutuan, sementara pembantu menteri tersebut adalah pembantu menteri pelajaran dan inovasi negeri Jenifer Lasimbang yang juga Adun mewakili Warisan di Moyog.

Selain Warisan, parti lain yang membentuk kerajaan negeri termasuklah Upko, DAP Sabah dan PKR Sabah.

Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, Jabatan Pendidikan Negeri harus berhenti memasukkan mana-mana menteri atau wakil daripada parti pemerintah Sabah ke dalam acara sedemikian, walaupun ia dirancang lebih awal.

“Peringatan ini juga ditujukan kepada pegawai di peringkat pejabat pendidikan bahagian dan pegawai pendidikan daerah di seluruh Sabah.

“Sebarang usaha dan langkah yang berlawanan dengan peringatan dan arahan ini adalah sama seperti mensabotaj kerajaan persekutuan,” katanya.