Kementerian cari penyelesaian masalah pekebun kecil, kata Jeck Seng

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi 1 Wee Jeck Seng berkata, antara masalah dibangkitkan pekebun kecil ialah isu subsidi, MSPO, pekerja asing dan kes kecurian tandan sawit.

PONTIAN: Pemberian subsidi, Pensijilan Minyak Sawit Lestari Malaysia (MSPO), pengambilan pekerja asing dan kes kecurian tandan sawit merupakan antara isu yang dibangkitkan pekebun kecil.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi 1, Wee Jeck Seng berkata, beliau akan membuat perbincangan secara berterusan mengenainya sekali gus mencari jalan penyelesaian.

“Pekebun kecil berharap kerajaan mengambil perhatian (isu-isu ini), terutama dalam suasana ekonomi yang kurang baik. Ia akan membawa impak kepada kewangan negara, kementerian akan melihat apa yang boleh dilakukan untuk meringankan beban mereka.

“Esok saya akan bawa perkara ini dan bincang dengan menteri (Mohd Khairuddin Aman Razali),” katanya kepada pemberita selepas program Dialog Bersama Pekebun Kecil Sawit anjuran Pusat Perkhidmatan Ahli Parlimen Tanjung Piai, di sini, hari ini.

Wee berkata dialog bersama pekebun kecil di kawasan Parlimennya itu merupakan sesi pertama bagi dialog tersebut.

Bagaimanapun, ekoran penularan Covid-19, pada sesi dialog seterusnya, ia akan berlangsung dalam skala kecil.

“Kita tidak boleh buat secara besar-besaran, justeru ia dilakukan secara skala kecil bagi membolehkan kita mengumpulkan maklumat seberapa banyak yang boleh.

“Maklumat ini akan dijadikan sebagai maklumat tambahan untuk diberikan kepada kementerian untuk mencari jalan penyelesaian,” katanya.

Dalam masa yang sama, hubungan rapat bersama pekebun kecil menerusi sesi dialog itu juga akan sentiasa dilakukan memandangkan terdapat kira-kira satu juta pekebun kecil di seluruh negara, katanya.