Ketua PKR Kelantan letak jawatan pengerusi Tekun

Mohamad Suparadi Md Noor menyandang jawatan pengerusi Tekun sejak Oktober 2018. (Gambar Bernama)

KOTA BHARU: Pengerusi Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (Tekun) Nasional, Mohamad Suparadi Md Noor akan melepaskan jawatan itu yang disandangnya sejak Oktober 2018 berikutan pembentukan kerajaan baru di peringkat pusat.

Suparadi yang juga ketua PKR Kelantan berkata, peletakan jawatan itu bagi membolehkan kerajaan pusat memilih penggantinya kerana ia adalah lantikan politik.

“Saya pegang prinsip dan saya akan letak jawatan bagi membolehkan kerajaan baru menamakan pengerusi baru…tidak ada masalah bagi saya,” katanya selepas pertemuan khas bersama lebih 200 ahli PKR Kelantan di sini, malam tadi.

Beliau gembira kerana sudah banyak membantu rakyat ketika bersama Tekun.

Mengenai nasib lebih 200 ahli parti itu dalam Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan, Suparadi berkata, keanggotaan mereka sudah lucut apabila bertukar kerajaan dan beliau menafikan dakwaan lebih 10,000 ahli PKR di Kelantan akan meninggalkan parti itu kerana kecewa dengan situasi politik semasa.

Sebaliknya, beliau berkata, hasil perbincangan dengan 14 ketua bahagian di negeri ini mendapati dakwaan itu tidak berasas dan hanya 300 hingga 500 ahli yang keluar parti kerana sudah lama tidak bersama mereka dan hanya menunggu masa berbuat demikian.