KKM: 190 kes baru Covid-19 dicatat hari ini

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba.

PETALING JAYA: Sebanyak 190 kes baru jangkitan Covid-19 dilaporkan hari ini menjadikan jumlah keseluruhan 428 kes.

Menteri Kesihatan Dr Adham Baba berkata berdasarkan siasatan awal, kebanyakan kes baru tersebut adalah berkaitan dengan kluster perhimpunan tabligh di masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur.

“Sehingga kini, seramai 9 kes positif Covid-19 sedang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan memerlukan bantuan pernafasan,” katanya pada satu sidang media hari ini.

Tambah beliau, penyiasatan dan langkah mengesan peserta himpunan tabligh itu masih giat diteruskan.

“Peserta perhimpunan tabligh akan diletakkan di bawah perintah pengawasan dan pemerhatian Seksyen 15(1) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh di masjid Seri Petaling atau kontak rapat kepada kes positif Covid-19 mengikut mana yang terkemudian.”

Beliau juga berkata,segala aktiviti di masjid tersebut perlu dihentikan serta merta bagi mengelakkan penularan wabak berkenaan.

“Semua pihak dipohon memberi kerjasama rapat kepada KKM dan bersama-sama membendung penularan ini dengan mengikutinasihat rasmi yang dikeluarkan.”

Terdahulu hampir 200 orang di Tawau dan 132 orang di Kelantan yang menghadiri perhimpunan itu dari 27 Feb hingga 2 Mac lalu hadir ke beberapa fasiliti kesihatan bagi menjalani ujian saringan Covid-19.

Dalam pada itu, Adham memaklumkan sebanyak 7 kes yang disahkan positif wabak itu sudah pulih sepenuhnya dan discaj dari wad di Hospital Sungai Buloh.

Katanya, angka terbaru itu menjadikan 42 kes pulih sepenuhnya setakat ini.