KPDNHEP: Kabinet bincang isu kurang penutup mulut dan hidung, pembasmi kuman Rabu ini

Kerajaan bersedia menyekat eksport penutup mjuka dan hidung ke luar negara bagi memastikan bekalannya mencukupi.

KUALA TERENGGANU: Masalah kekurangan bekalan penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan pembasmi kuman berikutan penularan jangkitan COVID-19 akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet Rabu ini.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Rosol Wahid berkata ia bagi memastikan masalah kekurangan kedua-dua barangan itu yang menjadi keresahan rakyat, akan dapat diatasi.

“Menteri (Alexander Nanta Linggi) ada menyatakan bahawa kerajaan bersedia untuk tidak mengeksport apa yang ada (penutup mulut dan hidung) ke luar negara jadi ia sikit sebanyak akan memastikan barangan itu mencukupi di negara kita,” katanya kepada pemberita ketika lawatan kerja ke pejabat Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu di sini, hari ini.

Rosol turut memberi amaran bahawa tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang sengaja menyembunyikan stok penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan pembasmi kuman dengan tujuan menaikkan harga jualan.

Rosol Wahid

“Setakat ini tiada laporan (menyembunyikan stok penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan pembasmi kuman). Kalau ada kita akan pastikan tindakan tegas akan diambil ke atas mereka yang mengambil kesempatan atas masalah ini,” katanya.

Selain itu, Rosol menasihati orang ramai supaya tidak melakukan pembelian barangan keperluan termasuk penutup mulut dan hidung serta pencuci tangan pembasmi kuman secara panik susulan penularan pelbagai dakwaan berkenaan situasi Covid-19 di negara ini, bagi mengelakkan peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga barangan.