Kuwait ubah lafaz azan ‘tunaikanlah solat di rumah kamu’

Suhu badan diperiksa terlebih dahulu, elak pembawa Covid-19 sebelum memasuki bank di Shaab, Kuwait. (Gambar Reuters)

Penularan Covid-19 di seluruh dunia ketika ini dalam situasi yang sangat membimbangkan.

Di Kuwait sendiri, pihak berkuasanya mengeluarkan arahan menutup sementara semua masjid dan mengubah lafaz laungan azannya.

Memetik portal Middle East Eye, serentak penutupan rumah ibadat itu lafaz azan diubah daripada “hayya ‘ala al-Salah” (marilah menunaikan solat) kepada “al-Salatu fi buyutikum” (tunaikanlah solat di rumah kamu).

Ia menyentuh hati ramai pengguna media sosial, kerana pada seketika kedengaran seolah suara bilal berkenaan bergetar ketika melaungkan azan.

Kementerian Hal Ehwal Islam Kuwait mengumumkan solat 5 waktu yang lazimnya dibuat di masjid dibatalkan.

Susulan itu, beberapa video tular di media sosial memperdengarkan perbezaan lafaz laungan azan itu.

Pihak berkuasa berkata, muazin akan terus melaungkan azan, namun menukar lafaz laungan azan dengan mengajak orang ramai menunaikan solat di rumah masing-masing.

Pembaharuan itu berkuat kuasa sehingga diberitahu kelak.

Awal minggu ini, Kuwait mengumumkan cuti umum antara 12 hingga 26 Mac dengan menyambung semula kerja pada 29 Mac manakala, entiti yang menyediakan khidmat penting beroperasi seperti biasa.

Pihak berkuasa juga melarang perjumpaan seperti di restoran, kafetaria dan pusat perniagaan.

Kerajaan turut mengenakan sekatan penerbangan antarabangsa, namun mengecualikan penerbangan kargo hingga diberitahu kelak.

Setakat ini, Kuwait merekodkan 100 kes jangkitan Covid-19 tanpa kematian dengan 5 daripada mereka disahkan sembuh.

Hampir setiap negara di Timur Tengah dan Afrika Utara, kecuali Libya, Mauritania, Syria dan Yaman, mengesahkan terdapat kes Covid-19.

Bulan lalu, Arab Saudi meletakkan larangan sementara terhadap jemaah umrah luar negara memasuki negara itu terutama sekali ke Mekah dan Madinah.

Dan sehingga kini tiada pengesahan yang diberikan oleh pihak berkuasa Arab Saudi sama ada Covid-19 akan menjejaskan proses haji tahun ini yang dijadualkan pada bulan Julai.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]