Larang eksport penutup mulut jika kekurangan bekalan serius, kata menteri

Menteri perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna berkata, permintaan tinggi penutup hidung dan mulut yang melebihi bekalan menjejaskan bukan saja Malaysia, tetapi juga seluruh dunia.

KUCHING: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna sedia mempertimbangkan larangan mengeksport penutup hidung dan mulut sekiranya berlaku kekurangan bekalan serius di negara ini.

Menterinya, Alexander Nanta Linggi berkata, permintaan tinggi penutup hidung dan mulut yang melebihi bekalan menjejaskan bukan saja Malaysia, tetapi juga seluruh dunia.

“Di Malaysia, kita ada 4 pengeluar penutup hidung dan mulut yang bergantung kepada bahan diimport untuk menghasilkannya. Mereka perlu mengimport bahan dari China dan negara lain di Eropah,” katanya dalam sidang media semalam.

Ahli Parlimen Kapit itu berkata, kementeriannya memandang serius laporan kenaikan harga penutup hidung dan mulut serta cecair sanitasi berikutan kebimbangan orang ramai terhadap Covid-19.

“Kami mengadakan beberapa mesyuarat mengenai perkara itu dan terdapat pelbagai pandangan mengenai cara mengatasi masalah tersebut. Tidak syak lagi kami menyedari ada orang mengambil peluang daripada situasi itu dan cuba mengaut keuntungan cepat.

“Kita tidak boleh membiarkan mereka mengambil kesempatan terhadap orang ramai. Kementerian kami akan menjalankan penguatkuasaan dan memastikan rakyat dilindungi.”