Mustahil puaskan hati semua untuk jawatan Kabinet, kata ahli Parlimen PPBM

Muhyiddin Yassin bergambar dengan semua menteri sebelum memulakan mesyuarat Kabinet pertama di Bangunan Perdana Putra pada 11 Mac lalu. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Seorang ahli Parlimen PPBM mempertahankan keputusan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam agihan kerusi Kabinet, selepas beberapa pemimpin Umno mengkritik pembahagian jawatan itu yang didakwa tidak adil.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Rosol Wahid percaya Muhyiddin sudah membuat keputusan terbaik selepas mengambil kira pandangan pelbagai pihak, tetapi adalah sukar untuk memuaskan hati semua pihak.

“Untuk memuaskan semua orang dalam satu masa adalah mustahil, jadi kita tengok mana yang terbaik. Setakat ini saya berpandangan pelantikan ini yang terbaik, menggembirakan ramai rakyat di bawah,” kata ahli Parlimen Hulu Terengganu itu kepada FMT hari ini.

Kelmarin, Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan mendakwa ahli Parlimen parti itu sebagai blok terbesar yang membentuk kerajaan baru diketepikan secara tidak adil dalam Kabinet Muhyiddin.

Katanya, ahli Parlimen Umno diberi portfolio kementerian tidak kritikal berbanding ahli Parlimen blok perdana menteri.

Naib Presiden Umno, Mohamed Khaled Nordin pula berkata, parti itu menuntut jumlah kerusi adil dalam Kabinet kerana Muhyiddin tidak dapat membentuk kerajaan baru tanpa sokongan Umno dan PAS.

Katanya, Umno bukan “subordinate” PPBM atau Muhyiddin dan parti itu tahu tuntutan yang sesuai dengan sumbangannya dalam membentuk kerajaan baru.

Hari ini, Rosol meminta pemimpin Umno bersabar dan menilai anggota Kabinet berdasarkan prestasi mereka.

“Sekarang ini masih terlalu awal untuk menilai, kita baru saja dilantik.

“Kalau tidak puas hati dan minta diberikan kepada yang berpengalaman kelak, kami pun pastinya akan faham. Tetapi apabila ada parti yang tidak puas hati dengan bilangan anggota Kabinet, sukarlah untuk bentuk kerajaan.”

Kabinet pimpinan Muhyiddin terdiri daripada 26 kementerian, termasuk 4 menteri kanan yang akan membantunya menyelaras hal ehwal Kabinet, menggantikan peranan timbalan perdana menteri.

Barisan menterinya pula merangkumi 9 pemimpin Umno, masing-masing satu daripada MCA dan MIC, PPBM (7,) PAS (3), Gabungan Parti Sarawak (4), Parti Bersatu Sabah (1) dan 3 bekas pemimpin PKR yang menyertai PPBM baru-baru ini.

Pemimpin Umno itu ialah Ismail Sabri Yaakob (Pertahanan), Annuar Musa (Wilayah Persekutuan), Noraini Ahmad (Pengajian Tinggi), Shamsul Anuar Nasarah (Tenaga dan Sumber Asli), Dr Adham Baba (Kesihatan), Hishammuddin Hussein (Luar Negeri), Khairy Jamaluddin (Sains, Teknologi dan Inovasi), Halimah Mohamed Sadique (Perpaduan Negara) dan Reezal Merican Naina Merican (Belia dan Sukan).