Putrajaya saran sekolah tangguh semua aktiviti pendidikan

Sebarang penutupan sekolah atau kelas tertakluk kepada pengetua dan guru besar, setelah mendapat nasihat Jabatan Kesihatan Negeri atau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) bagi proses pembasmian kuman. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan menyarankan semua aktiviti dan program berkaitan pendidikan yang menghimpunkan orang ramai ditangguhkan susulan penularan Covid-19.

Ia termasuk program sukan dan aktiviti kokurikulum, perhimpunan rasmi sekolah, program sambutan keraian, program latihan, mesyuarat, persidangan, kolokium, kem, seminar, kursus, mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru, Festival Guru Malaysia dan seumpamanya.

Perkara itu terkandung dalam surat KPM berhubung pelaksanaan perhimpunan sekolah semasa penularan Covid-19 di sekolah bawah KPM bagi memastikan kualiti kesihatan warga sekolah sentiasa diutamakan dan terjamin.

Surat bertarikh 13 Mac itu ditandatangani Timbalan Ketua Pengarah Pelajaran Malaysia (Sektor Operasi Sekolah), Adzman Talib dan ditujukan kepada semua pengarah pendidikan dan Jabatan Pendidikan Negeri.

Ia susulan Surat Langkah Menangani Penularan Wabak Covid-19 daripada ketua setiausaha negara pada tarikh sama yang menyarankan semua kementerian menangguhkan program tidak kritikal menghimpunkan orang ramai.

Bagaimanapun, jika terdapat aktiviti tidak dapat dielakkan, Jabatan Pendidikan Negeri, Pejabat Pendidikan Daerah atau sekolah diminta mengambil beberapa langkah, antaranya melaksanakan saringan suhu badan, tidak digalakkan bersalaman dengan tetamu dan murid yang bergejala tidak dibenarkan hadir ke sekolah.

Sementara itu, dalam surat berasingan KPM pada tarikh sama berkaitan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan penularan Covid-19 di sekolah bawah KPM, antara langkah pengawalan ialah murid dinasihatkan tidak mengikuti sebarang program yang dianjurkan di negara terjejas dan berisiko tinggi seperti China, Jepun dan Itali.

Bagi proses disinfeksi, ia perlu dilakukan dengan panduan dan nasihat Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) atau Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) dan sebarang penutupan sekolah atau kelas tertakluk kepada pengetua dan guru besar, setelah mendapat nasihat JKN dan PKD.

SOP itu turut menyatakan carta alir pengurusan murid yang pulang/datang dari negara terjejas Covid-19 serta garis panduan pemantauan atau kuarantin di rumah.