Sabah mungkin lanjut tempoh cuti sekolah, kata KM

Jumlah kehadiran pengunjung ke pasar Ahad popular Gaya Street jauh berkurangan hari ini dengan sesetengah peniaga mendakwa jumlah jualan merosot sehingga 80% susulan wabak Covid-19.

KOTA KINABALU: Sewaktu jumlah kes Covid-19 meningkat daripada 23 kepada 49 di Sabah hari ini, kerajaan negeri berkata, cuti sekolah mungkin dilanjutkan dan syarikat digesa membenarkan pekerja bekerja dari rumah.

Sementara itu masjid dan surau di Sandakan, Tawau, Beaufort dan Kota Kinabalu diarah tutup sementara.

49 kes Covid-19 di Sabah dikenal pasti di Lahad Datu (14), Kota Kinabalu (9), Tawau (8), Kinabatangan (5), Tuaran (3), Kunak, Putatan dan Sandakan (masing-masing 2), Beaufort, Kota Belud, Papar dan Sipitang (1).

Ketua Menteri Shafie Apdal berkata, beliau “sangat bimbang” susulan penularan penyakit itu dalam tempoh masa yang pendek.

“Pihak berkuasa kesihatan kita juga sangat bimbang bahawa angka kes jangkitan mungkin meningkat,” katanya.

Kes positif Covid-19 pertama disahkan minggu lepas membabitkan seorang lelaki berusia 58 tahun di Tawau. Beliau menghadiri satu perhimpunan jemaah tabligh di masjid Seri Petaling di Kuala Lumpur dari 29 Mac hingga 1 Mac.

Sejak itu, pegawai kesihatan Sabah mengesan lebih banyak kes dalam kalangan mereka yang menghadiri perhimpunan itu. Langkah disambil untuk mengesan mereka dan orang yang mempunyai kontak dengan individu terbabit.

Shafie berkata, “kerajaan Sabah kini antara lain menimbangkan beberapa cadangan, termasuk melanjutkan tempoh cuti persekolahan bagi menyekat penularan virus itu di kawasan berisiko tinggi”.

Beliau menggesa orang ramai supaya mengelakkan perjalanan tidak perlu dan pihak swasta membenarkan pekerja mereka bekerja dari rumah, jika boleh.

Orang ramai juga perlu mendengar nasihat pegawai kesihatan, katanya.

“Kita boleh atasi masalah ini jika kita bekerjasama dalam menunaikan bahagian masing-masing. Kerajaan akan mengambil semua langkah perlu dan mungkin bagi menghentikan wabak Covid-19.”

Sejak 30 Jan, kerajaan Sabah mengambil langkah menyekat kemasukan pelancong dari negara yang dilanda wabak tersebut.