Singapura perketat syarat masuk, rakyat Malaysia dikecuali

Berkuat kuasa pada 16 Mac semua pengembara yang memasuki Singapura dan mempunyai sejarah perjalanan ke negara Asean, Jepun, Switzerland atau United Kingdom dalam tempoh 14 hari lepas akan diberikan notis duduk di rumah. (Gambar Bernama)

SINGAPURA: Sekatan sempadan baru terhadap pengembara, termasuk dari Asean tidak melibatkan laluan laut serta darat antara Singapura dan Malaysia, yang membawa maksud rakyat kedua-dua negara boleh melakukan perjalanan dari kedua-dua arah seperti biasa.

Pengerusi bersama pasukan petugas pelbagai kementerian Singapura mengenai Covid-19 Lawrence Wong berkata, meskipun perintah itu terpakai kepada seluruh negara Asean, satu persetujuan berasingan disediakan untuk Malaysia menerusi kumpulan kerja bersama 2 hala.

Pertimbangan khusus diberikan kepada Malaysia berdasarkan jarak yang dekat dan kesalingbergantungan yang tinggi antara kedua-dua negara.

“Kita sememangnya perlu mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan jumlah orang dan kenderaan yang tinggi keluar masuk dari semua pusat pemeriksaan ini,” katanya semasa mengumumkan langkah tambahan yang diambil Singapura hari ini bagi menangani situasi Covid-19 bermula tengah malam Isnin.

Berkuat kuasa pada 16 Mac 2020, jam 2359, semua pengembara yang memasuki Singapura dan mempunyai sejarah perjalanan ke negara Asean, Jepun, Switzerland atau United Kingdom dalam tempoh 14 hari lepas akan diberikan notis duduk di rumah (SHN).

Wong, yang juga menteri pembangunan negara berkata, di laluan darat sahaja, sejumlah 200,000 orang bergerak melalui pusat pemeriksaan setiap hari dan pengenaan syarat 14 hari SHN akan menyulitkan keadaan serta menimbulkan begitu banyak gangguan bagi kedua-dua negara.

“Jadi syarat 14 hari yang dikenakan adalah tidak praktikal untuk kesemua pengembara ini dan kami perlu melihat langkah berjaga-jaga lain seperti memeriksa keadaan kesihatan mereka. Jadi perbincangan masih berlangsung antara kedua-dua pihak,” katanya panjang lebar.

Perintah perjalanan terkini itu terpakai kepada penduduk Singapura, pemegang pas jangka panjang dan pelawat jangka pendek, namun bukan mereka yang melakukan transit di Singapura tanpa keluar dari kawasan transit.

Selain itu, mereka perlu memberikan bukti di mana mereka akan menjalani tempoh 14 hari SHN, contohnya tempahan hotel yang meliputi keseluruhan tempoh tersebut, atau tempat kediaman yang mereka atau anggota keluarga mereka miliki.

Mereka juga mungkin akan diambil sampel untuk ujian bagi Covid-19, meskipun tanpa mengalami gejala kerana berdepan risiko jangkitan komuniti di negara asal dan bukti kes yang diimport dari kesemua negara ini ke Singapura.

Selain syarat yang dikenakan SHN, mulai 16 Mac 2020, jam 2359, semua pelawat jangka pendek dari mana-mana negara Asean perlu mengemukakan maklumat yang diperlukan mengenai keadaan kesihatan mereka kepada Misi Luar Negara Singapura di negara di mana mereka menetap sebelum tarikh perjalanan.

Ia perlu diluluskan Kementerian Kesihatan Singapura sebelum perjalanan dilakukan ke negara itu dan kelulusan tersebut akan disahkan para pegawai Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) di pusat pemeriksaan Singapura.

Pelawat jangka pendek yang tiba di Singapura tanpa kelulusan yang diperlukan akan dilarang memasuki negara itu dan oleh yang demikian, mereka dinasihatkan untuk mendapatkan kelulusan tersebut sebelum membuat tempahan perjalanan.