Tahun pertama ‘ujian’ buat Perikatan Nasional bertahan, kata penganalisis

Muhyiddin Yassin membentuk kerajaan baru selepas mendapat sokongan BN dan PAS.

PETALING JAYA: Dua penganalisis politik berkata, jika Perikatan Nasional mampu bertahan tahun pertamanya bersama, ia mungkin boleh mengharunginya sehingga pilihan raya umum akan datang.

Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya berkata, tahun pertama ialah “ujian” bagi gabungan baru Barisan Nasional, PPBM dan PAS.

“Jika mereka gagal, BN akan mencari jalan mengadakan pilihan raya mengejut.

“Ada dalam kalangan Umno yang merasakan mereka mendapat majoriti dan mereka mempunyai lebih banyak hak,” katanya kepada FMT merujuk BN dan PAS yang mempunyai 60 ahli Parlimen, manakala PPBM hanya 37 orang.

Awang Azman berkata, beberapa pemimpin Umno juga tidak berpuas hati kerana parti itu gagal mendapat beberapa jawatan penting dalam Kabinet baru.

Rabu lalu, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin dalam sidang media pertamanya berkata, menteri kanan Mohamed Azmin Ali akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet jika beliau tiada.

Ahli Parlimen Pengerang, Azalina Othman Said menerusi Twitternya berkata, Kabinet Muhyiddin mempunyai perwakilan parti yang tidak adil, manakala Ketua Umno Johor Baru, Shahrir Samad mendakwa ia tidak mewakili semangat “en bloc” Perikatan Nasional.

Ketua Umno Sabah, Bung Moktar Radin yang tidak dilantik sebagai menteri kesal Umno Sabah tiada wakil dalam Kabinet.

Naib Presiden Umno, Khaled Nordin turut mengingatkan Perikatan Nasional yang mereka bukan penumpang dalam kerajaan baru.

Komposisi Kabinet Muhyiddin terdiri daripada 31 menteri – 11 daripada PPBM, 9 daripada Umno dan setiap satu daripada MIC serta MCA.

Awang Azman berkata, pemimpin Umno merasakan parti itu dipergunakan untuk menubuhkan kerajaan baru dan “diketepikan” apabila pemimpin PPBM mencapai matlamat mereka meraih majoriti di Parlimen yang membolehkan mereka menubuhkan kerajaan baru.

“Jika perasaan itu berterusan, mereka boleh mengadakan pilihan raya mengejut. Jika mereka dapat bertahan tahun pertama bersama, mereka akan berdepan satu sama lain ketika bersaing untuk kerusi pada pilihan raya umum.”

Seorang lagi penganalisis politik, Kamarul Zaman Yusoff turut memberi masa kira-kira setahun kepada gabungan baru itu.

“Gabungan ini boleh bertahan sekurang-kurangnya setahun. Buat masa ini, mereka akan bersama kerana mereka mempunyai musuh sama, DAP, yang akan membuatkan Umno dan PPBM,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, kedua-dua parti itu mahu menyingkirkan DAP.

Katanya, runguntan pemimpin kanan Umno baru-baru ini tidak akan mempunyai sebarang akibat serius.

“Mereka yang merungut akan terus berbuat demikian. Ia tidak akan hilang, tetapi akan berkurangan kerana Muhyiddin tahu cara menangani mereka.”

Katanya, buat masa ini, hanya Pakatan Harapan di bawah kepimpinan Anwar Ibrahim daripada PKR, mungkin berhasrat mengusulkan undi tidak percaya apabila Dewan Rakyat bersidang pada Mei ini.

“Tetapi, masih ada 2 bulan. Bila sampai masanya, Muhyiddin akan mendapat lebih banyak sokongan.

“PH akan mendapati sukar untuk memenangi undi tidak percaya. Muhyiddin sebagai perdana menteri akan mempunyai lebih banyak sumber.”

Pensyarah kanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Suffian Mansor berkata rasa tidak puas hati sedang meningkat dalam kalangan Umno, tetapi terlalu awal untuk mereka berpecah.

“Sekurang-kurangnya mereka akan bekerjasama sekarang. Umno akan lihat situasi dan menunggu.

“Jika tiada berhasil, BN mungkin mahu membentuk kerajaan mereka sendiri,” katanya sambil menambah buat masa ini, pemimpin Umno masih di tahap mengingatkan Muhyiddin yang partinya mungkin boleh menyebabkan gabungan baru itu berjaya atau gagal.

“Mereka mengingatkan Muhyiddin yang partinya tidak sekuat Umno.”