Thailand tetap 3 kategori pelancong kawal wabak Covid-19

Sehingga kini, Thailand mencatatkan 82 kes Covid-19 dengan 1 kematian dan 46 pesakit masih dirawat di hospital, manakala 35 dibenarkan pulang. (Gambar AP)

BANGKOK: Thailand mengeluarkan langkah-langkah pencegahan untuk pelancong yang melawat negara gajah putih ini, sebagai usaha mengekang penularan Covid-19.

Dalam satu kenyataan, Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) menyatakan langkah pencegahan oleh Jabatan Kawalan Penyakit Thailand (DDC), Kementerian Kesihatan Awam itu mengkategori pelancong ke Thailand dalam 3 kumpulan untuk pengawasan yang berbeza.

Tiga kumpulan itu ialah zon penyakit berjangkit, negara yang mempunyai penularan jangkitan tempatan dan pelancong dari destinasi lain.

Pelancong dari zon penyakit berjangkit iaitu China, Itali, Iran, Korea Selatan, Macau dan Hong Kong dikehendaki memohon visa sebelum memasuki Thailand dan menjalani kuarantin mandatori selama 14 hari selepas tiba di negara ini.

“Pada waktu daftar masuk, semua penumpang perlu mengemukakan sijil kesihatan untuk membuktikan mereka bebas dari Covid-19. Sekiranya mana-mana penumpang tidak dapat mengemukakan sijil berkenaan, penumpang tidak akan dibenarkan menaiki pesawat.

“Apabila tiba di Thailand, semua pelancong, termasuk mereka yang transit sekurang-kurangnya 12 jam di lapangan terbang di Zon Penyakit Berjangkit atau yang melepasi Imigresen di negara itu dan wilayahnya perlu menjalani saringan di pintu masuk dan memberikan maklumat kepada pegawai di Pejabat Kuarantin,” katanya.

Bagi penumpang transit, TAT berkata, mereka perlu menjaga jarak sosial dan berada hanya di kawasan berhampiran pintu pagar.

Pelancong yang menjalani kuarantin mandatori selama 14 hari pula, perlu merekodkan dan mengawasi sekiranya mempunyai gejala jangkitan dan pegawai pengawasan akan memantau dengan teliti gejala yang dialami pelancong.

Menurut TAT, pelancong dari kawasan transmisi tempatan yang berterusan disyorkan berada di bawah pemerhatian dan pemantauan sendiri (penyeliaan tanpa kuarantin) semasa tempoh inkubasi selama 14 hari dan pegawai pengawasan akan memantau dengan teliti gejala mereka.

Pada 13 Mac, Kementerian Kesihatan Awam telah mengemas kini senarai negara yang mempunyai transmisi tempatan berterusan, yang kini termasuk Jepun, Perancis, Sepanyol, Switzerland, Jerman, Belanda, Sweden, Norway, Denmark, United Kingdom dan Amerika Syarikat.

Sementara itu, bagi pelancong dari destinasi lain, TAT berkata mereka akan menjalani pemeriksaan dan saringan seperti biasa di pintu masuk dan keluar.

Sehingga kini, Thailand mencatatkan 82 kes Covid-19 dengan 1 kematian dan 46 pesakit masih dirawat di hospital, manakala 35 dibenarkan pulang.