Tidak semua tahu sejarah ubat batuk Cap Ibu dan Anak

Sejarah ubat batuk ini diterjemahkan dalam bentuk iklan wayang kulit.

Jika ditanyakan, pasti hampir semua rakyat Malaysia mengenali ubat batuk terkenal di Malaysia.

Ia sirap yang paling biasa digunakan untuk melegakan tekak ketika musim batuk dan selesema.

Apa yang menarik sirap seperti madu ini langsung tidak terasa seperti ubat dan mudah untuk ditelan walaupun oleh kanak-kanak.

Namun, tahukah anda tentang asal usul di sebalik penghasilan ubat tradisional ini?

Seperti mana nama ubat ini iaitu Ubat Batuk Cap Ibu Dan Anak, ia sebenarnya merupakan satu kisah yang sangat menyentuh tentang kasih sayang seorang anak terhadap ibunya yang sakit.

Kisah Versi Pertama

Kasih sayang seorang anak yang tidak sanggup melihat ibunya batuk berterusan membuatkan dia mencari penawar.

Kisah ini berlaku lebih daripada 400 tahun yang lalu ketika Dinasti Qing, apabila ibu kepada pemuda yang bergelar komander jatuh sakit dan menderita akibat batuk kronik.

Dan sejak itu anaknya fokuskan hidupnya untuk mencari penawar untuk ibunya.

Kesemua yang dicuba oleh komander itu gagal, sehinggalah dia bertemu dengan seorang doktor Cina yang memberikannya formula rahsia.

Bertahun kemudian, sebelum ibu komander itu meninggal dunia, dia membuat satu permintaan kepada anaknya.

Permintaan tersebut iaitu untuk menghasilkan semula penawar yang mampu menyelamatkan nyawa orang ramai.

Pemuda tersebut menuruti permintaan ibunya dan menamakan produk tersebut sebagai “Nin Jiom”, yang bermaksud “Dalam Ingatan Ke Atas Ibu”.

Dan begitulah kisah bagaimana terhasilnya Ubat Batuk Cap Ibu Dan Anak.

Apa yang membezakan Nin Jiom Pei Pa Koa daripada yang lain adalah gabungan bahan-bahan semulajadi iaitu gabungan 14 herba Cina yang kaya, dan juga madu yang melegakan.

Anda boleh temui Nin Jiom Pei Pa Koa atau Pei Pa Koa (bermaksud Sirap Loquat) di mana-mana sahaja, malah semakin popular di New York.

Sirap yang kaya ini mendapat sifat penyembuhan daripada semua herba tradisional yang digunakan seperti daun loquat, akar liquorice, halia segar dan mentol, yang juga memberikan rasa yang berbeza yang semua orang suka.

Nin Jiom Pei Pa Koa kini menggunakan pengetahuan perubatan Cina tradisional yang digabungkan dengan teknologi terkini untuk menghasilkan ubat yang berkualiti tinggi untuk orang di seluruh dunia.

Kisah Versi Kedua

Menurut sumber lain yang hampir sama, formula ubat batuk ini telah dihasilkan daripada preskripsi yang diberikan oleh seorang doktor keluarga diraja yang bernama Dr. Ip Tin-See.

Ia dikatakan bermula pada zaman Dinasti Qing, selepas Yang Xiaolian yang merupakan seorang komander meminta Dr. Ip Tin-See untuk merawat ibunya yang menderita batuk berterusan selama beberapa bulan.

Campuran herba semula jadi dan madu diberikan kepada Yang oleh doktor tersebut dan berjaya menyembuhkan ibunya.

Dan disebabkan itu, ibu Yang berhajat untuk anaknya menghasilkan ubat batuk tersebut secara besar-besaran untuk tujuan mengubati mereka yang mempunyai sakit yang sama.

Untuk merealisasikan impian ini, keluarga Yang mengasaskan sebuah kilang di Beijing bagi mengeluarkan ubat batuk yang diberi nama ‘Nin Jiom’ (ibu saya dalam ingatan) Pei Pa Koa (sirap lokuat).

Ketika perang antara China dan Jepun meletus, keluarga Yang melarikan diri ke Hong Kong dan kemudiannya ke Brazil.

Disebabkan mereka memerlukan wang untuk melarikan diri dan juga bimbang formula ubat batuk hilang, keluarga Yang memutuskan untuk melepaskan perniagaan mereka dengan menjualnya kepada seorang pengamal perubatan Cina tempatan bernama Tse Siu-Bong.

Dengan formula yang ada, Tse terus menghasilkan sirap batuk di kedai perubatan China, dan syarikat Nin Jiom Medicine Manufacturing (HK) Ltd dibina serta diperbadankan pada tahun 1962.

Syarikat ini berpangkalan di Hong Kong dan membina kilang pengeluaran di Taiwan dan Singapura.

Rangkaian pengedaran produk ini kemudiannya diperluaskan lagi ke Asia Tenggara menjelang penghujung tahun 1970-an.

Hari ini, syarikat ini mempunyai rangkaian jualan antarabangsa yang terdiri lebih daripada 20 negara.

Tidak terhad kepada ubat batuk sahaja, jenama Cap Ibu Dan Anak juga mempunyai rangkaian produk lain seperti produk “candy” dengan tiga perisa iaitu asli, super mint dan tangerine-lemon.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]