Trump disahkan negatif Covid-19

Donald Trump makan malam dengan delegasi presiden Brazil di resortnya Mar-a-Lago di Florida seminggu lalu. (Gambar AP)

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump disahkan negatif Covid-19, kata doktor White House pada Sabtu.

Trump menjalani pemeriksaan kesihatan selepas menemui beberapa anggota delegasi presiden Brazil yang melawat resortnya di Florida yang disahkan positif virus itu.

“Saya menerima pengesahan yang ujian itu adalah negatif,” kata doktor kepada presiden itu, Sean Conley dalam satu memo.

“Seminggu selepas makan malam dengan delegasi Brazil di Mar-a-Lago, presiden kekal bebas simptom.”

Covid-19 mengorbankan sekurang-kurangnya 51 pesakit di AS dengan berjuta penduduknya bekerja dari rumah, sekolah ditutup dan kedai kehabisan barangan.

Jumaat lalu, Trump mengisytiharkan darurat, sehari sebelum sekatan kemasukan selama 30 hari ke atas warganegara dari 26 negara Eropah di zon bebas sempadan Kawasan Schengen berkuat kuasa.