4 rentung, 1 hilang dalam kebakaran di Pengerang

Api daripada letupan di Kompleks Bersepadu Pengerang, Kota Tinggi semalam. (Gambar Facebook)

JOHOR BAHRU: Empat ditemui rentung manakala 1 masih hilang dalam kebakaran di Diesel Hydro Treater Unit di Pengerang, dekat Kota Tinggi semalam.

Sementara itu, 1 mangsa selamat manakala seorang lagi didapati 70% melecur dalam kebakaran kira-kira 10.50 malam, kata Komander Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri Pauzan Ahmad.

“Terdapat 7 orang mangsa yang terlibat, seorang mangsa keluar sendiri dikenali sebagai Mohd Saiful Amat, seorang lagi cedera dikenali sebagai Arnado Alexander,” kata beliau dalam kenyataan hari ini.

Identiti mangsa yang dipercayai rentung dan hilang adalah Fadhi Akmal Fadzil, Azarul Ashraf Nor Akmal, Norfazly Md Nor, Che Huzaidy Che Harun dan Hadi Syafiq Jamil.

Setakat 11.15 pagi tadi, operasi masih dijalankan melibatkan 33 anggota JBPM dan 9 jentera dan dibantu 37 anggota Central Emergency & Fire Services (CEFS) Pengerang dan 8 jentera.

Terdahulu, Pauzan berkata Pusat Gerakan Operasi Johor menerima panggilan kecemasan kebakaran Diesel Hydro Treater Unit melalui talian terus ke balai pada 11.18 malam.

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di lokasi kejadian, didapati benar berlaku letupan dan kebakaran melibatkan Plant Diesel Hydro Treater Unit (HTU) yang menjalankan proses membuang sulfur dari diesel mentah dengan menggunakan gas hidrogen.

“Operasi mencari dan menyelamat sedang dilakukan dengan kekuatan anggota seramai 12 orang dan dipecahkan kepada 2 pasukan.

“Sementara pemadaman dan penyejukkan menggunakan 8 pancutan dari jentera dan 2 pancutan dari ‘ground monitor’, sumber air jentera ‘water tanker’ dan pili bomba berhampiran,” kata beliau.

Punca kebakaran masih dalam siasatan, tambahnya lagi.