4 tokoh perniagaan dilantik anggotai Majlis Tindakan Ekonomi

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mempengerusikan mesyuarat pertama Majlis Tindakan Ekonomi hari ini. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Empat tokoh perniagaan dilantik menganggotai Majlis Tindakan Ekonomi (EAC) yang akan bekerja bagi menangani masalah ekonomi diakibatkan oleh penularan wabak Covid-19 dan kejatuhan harga minya.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan mengetuai jawatankuasa induk majlis tersebut yang turut dianggotai 3 menteri, gabenor Bank Negara Malaysia dan tokoh perniagaan.

Menteri terbabit termasuk menteri kanan Mohamed Azmin Ali (perdagangan antarabangsa dan industri); Tengku Zafrul Aziz (kewangan); Mustapa Mohamed (hal ehawal ekonomi), selain gabenor BNM Nor Shamsiah Mohd Yunus.

Jawatankuasa itu turut dianggotai pemilik organisasi media Tong Kooi Ong (The Edge Media Group); Jeffrey Cheah (pengasas Sunway Group); G Gnanalingam (pengerusi eksekutif Westports); Jamaluddin Ibrahim (pengerusi Celcom Axia) dan Dr Jemilah Mahmood (pengasas Mercy Malaysia).

Pengerusi eksekutif EAC ialah Noor Azlan Ghazali, seorang pakar ekonomi dan bekas naib canselor Universiti Kebangsaan Malaysia.

Beliau mengetuai sekretariat bersama yang dibentuk oleh Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Perdana Menteri.

Muhyiddin berkata, majlis akan bertemu secara mingguan bagi membincangkan isu dan meneroka penyelesaian. Ia akan dibantu satu jawatankuasa teknikal yang akan menyediakan laporan harian mengenai ekonomi global dan tempatan.

Jawatankuasa itu terdiri daripada wakil daripada Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri, Bank Negara dan Jabatan Perangkaan.

Beberapa kumpulan kerja juga dibentuk bagi memantau sektor utama seperti pelancongan, pasaran tenaga buruh, industri kecil dan sederhana dan industri runcit dan makanan.

Setiap kumpulan kerja akan dipimpin bersama oleh kerajaan dan sektor swasta, kata Muhyiddin.

Beliau berkata, ia akan mula bekerja bulan depan berkait sejumlah projek kecil bernilai RM2 bilion yang diumumkan dalam pakej rangsangan ekonomi 2020 bulan lepas.

Kemajuannya akan dipantau oleh Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali, dengan laporan mingguan dikemukakan kepada perdana menteri.

Projek terbabit akan memberi perhatian kepada pembangunan infrastruktur luar bandar dan bakal dilaksanakan oleh kontraktor kecil Bumiputera.

Kerajaan akan meneruskan semua projek yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2020, termasuk Projek Laluan Keretapi Pantai Timur (ECRL), Projek Aliran Transit Massa 2 (MRT 2) dan Rancangan Fiberisasi dan Sambungan Nasional.

“EAC akan dibantu oleh pegawai di peringkat jawatankuasa, satu jawatankuasa teknikal dan beberapa kumpulan kerja. Perdana menteri akan mempengerusikan jawatankuasa tertinggi,” kata Muhyiddin.

Kementerian Kewangan, Unit Perancang Ekonomi dan Jabatan Perdana Menteri akan membentuk sekretariat bersama EAC bagi menyelaras perbincangan dan memantau keputusan yang dibuat oleh majlis.