9 tip jimatkan bayaran cukai pendapatan 2019

Jika anda tahu tip ketika membuat pengisytiharan pendapatan anda dapat berjimat banyak. (Gambar Bernama)

Seperti semua sedia maklum, bermula 1 Mac lalu ialah tempoh pengisytiharan pendapatan bagi Tahun Taksiran 2019.

Tarikh akhir mengisytiharkan pendapatan bagi individu yang tidak menjalankan perniagaan pada 30 April 2020.

Tetapi jika anda menggunakan e-Filing e-BE 2019 perlu dihantar selewat-lewatnya pada 15 Mei 2020.

Cukai pendapatan ialah cukai yang dikenakan ke atas pendapatan yang diperolehi.

Ia termasuklah daripada gaji, komisen, kerja lebih masa, elaun, yuran pengarah, dividen, sewa, royalti, pendapatan perniagaan yang diterima oleh individu, syarikat, koperasi dan persatuan setiap tahun.

Terbaharu, seorang pengguna Twitter @im_afiqq telah berkongsi cara pelepasan cukai yang anda boleh gunakan.

1. Self relief: RM9,000

Bila kita putuskan hendak bayar cukai, kita akan terus dapat “self relief” sebanyak RM9,000

2. Perbelanjaan perubatan untuk ibu bapa: RM5,000

Untuk setiap ibu dan ayah yang berumur lebih 60 tahun dan berpendapatan kurang dari RM24,000 setahun di mana ayah RM1,500 dan ibu RM1,500.

3. Peralatan sokongan asas untuk diri sendiri, pasangan, anak atau ibu bapa: RM6,000

Ini kalau kita belanja wang seperti membeli kerusi roda atau apa sahaja peralatan sokongan asas boleh mengurangkan bayaran cukai kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri.

4. Perbelanjaan perubatan untuk penyakit serius untuk diri sendiri, pasangan atau anak: RM6,000

Berbelanja untuk perubatan atau anda boleh lakukan “medical check-up” secara menyeluruh sebanyak RM500 supaya kita dapat kenal pasti jika ada sebarang masalah. Atau untuk pastikan badan kita dalam keadaan sihat. Lebih baik invest pada diri sendiri daripada bayar LHDN. Bukan hanya untuk kita, boleh buat untuk pasangan dan juga anak.

5. Gaya hidup: RM2,500

Berbelanjalah sedikit duit kita untuk membeli buku, atau mungkin membeli komputer (jika perlu). Bagi anda yang suka bersenam, anda boleh mendaftar jadi ahli gymnasium atau perkara paling mudah ialah langgan internet. Ini pun boleh bantu kita mengurangkan cukai peribadi.

6. Simpanan skim SSPN: RM6,000

Ibarat bertukar akaun sahaja yang ini iaitu dari akaun simpanan kita yang lain ke akaun SSPN. Tidak hilang pun duit itu, malah mungkin boleh digandakan dengan dividen. Simpanan bertambah, cukai pun berkurang.

7. Perlindungan insuran nyawa dan KWSP: RM6,000

Bayaran untuk perlindungan diri sendiri lebih baik daripada bayar cukai yang terlalu tinggi. Sekurang-kurangnya kita tahu kita dilindungi dan yang bagusnya kita boleh kurangkan cukai dengan bayar secara premium. Atau kita juga boleh menabung dalam KWSP sebagai bekalan hari tua. Yang pasti duit itu tetap kita punya.

8. PRS: RM3,000

Ini pun sejenis simpanan untuk diri sendiri, jadi anda boleh fikir sendiri sama ada mahu tambahkan simpanan atau mahu bayar cukai terlalu tinggi.

9. Yuran pendidikan: RM7,000

Bagi mereka yang ingin menyambung pelajaran, samada di peringkat sijil, diploma, ijazah, master atau PHD serta dalam apa juga bidang termasuk vokasional atau teknikal boleh gunakan peluang ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]