Bekas pegawai Syed Saddiq tanding ketua Pemuda PPBM

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal bertanding merebut jawatan ketua Pemuda PPBM menentang Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Muzzamil Ismail.

PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Kamal sah bertanding jawatan ketua Pemuda PPBM pada pemilihan parti itu kali ini.

Jawatan utama itu kini disandang oleh bekas menteri belia dan sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman yang merupakan bekas bos Wan Fayhsal di kementerian itu.

Beliau dilaporkan menghantar borang pencalonan di ibu pejabat PPBM tengah hari tadi.

Menurut sumber dalaman parti, Fayhsal bertindak sedemikian dipercayai selepas mengadakan pertemuan dengan Presiden PPBM Muhyiddin Yassin di kediamannya malam tadi.

“Beliau mempertimbangkan jawatan kedua tertinggi dalam sayap pemuda, iaitu sebagai naib ketua Pemuda.

“Selepas perjumpaan malam tadi dengan presiden, beliau bertanding jawatan utama,” katanya kepada FMT di sini hari ini.

Sebelum ini, Fayhsal menyatakan sokongan secara terbuka kepada Muhyiddin sebagai perdana menteri, pasca krisis politik di Malaysia, beberapa minggu lalu.

Perkembangan ini sekali gus menyaksikan pertembungan 3 penjuru bagi merebut jawatan utama Pemuda PPBM.

Sehingga kini, calon yang disahkan bertanding bagi merebut jawatan itu ialah Syed Saddiq, Muzzamil Ismail dan Fayhsal.

Pada 31 Januari pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PPBM, Syed Hamid Albar mengumumkan sebanyak 11,100 borang pencalonan diterima bagi merebut 7,371 jawatan di 189 bahagian parti.

Daripada jumlah itu, sebanyak 9,452 pencalonan disahkan layak bertanding bagi jawatan dipertandingkan selepas melalui proses saringan.

Mengikut pecahan, 4,631 calon bertanding bagi jawatan utama di peringkat bahagian, 2,581 calon Wanita dan 2,240 bagi sayap Pemuda bahagian.