Bomba daki bukit 2km untuk padam kebakaran hutan

(Gambar Bernama)

IPOH: Pasukan bomba terpaksa mendaki bukit sejauh 2km untuk tiba di lokasi kebakaran hutan seluas 1.21 hektar di Jalan Gerik, Pengkalan Hulu bagi kerja memadamkan kebakaran pagi tadi.

Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, seramai 12 anggota dan pegawai daripada Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gerik serta bantuan BBP Pengkalan Hulu dan Lenggong dihantar sebaik menerima panggilan pada 9.30 pagi tadi.

“Kawasan itu tidak boleh dimasuki jentera bomba kerana keadaan jalan yang sempit menyebabkan anggota dan pegawai terlibat mendaki dari kaki bukit ke lokasi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata operasi pemadaman kebakaran terbahagi kepada 2 kumpulan dengan bantuan 3 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela).

Setakat berita ini ditulis pihak bomba masih lagi melakukan kerja-kerja pemadaman api di kawasan kebakaran.

Katanya punca kebakaran masih dalam siasatan dan setakat ini tiada kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.