Covid-19: 87 penghuni madrasah di Kuala Terengganu dikuarantin

Seorang peserta program tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling disyaki positif Covid-19 singgah di Madrasatul Quran Kubang Bujuk. (Gambar Facebook)

KUALA TERENGGANU: Seramai 87 penghuni Madrasatul Quran Kubang Bujuk dekat Serada dikuarantin sebagai pesakit di bawah siasatan (PUI) bagi jangkitan Covid-19.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar, Alias Razak berkata semua mereka dikuarantin di Hospital Hulu Terengganu sejak Sabtu lalu.

“Langkah diambil kerana seorang peserta program tabligh di Masjid Jamek Sri Petaling disyaki positif Covid-19 singgah di madrasah itu.

“Justeru, madrasah ditutup kepada orang ramai dan penghuninya dikuarantin tanpa sebarang pergerakan keluar masuk untuk mengelak risiko penyebaran penyakit terbabit.

“Jabatan Kesihatan Terengganu juga membuat saringan kesihatan kepada semua penghuni madrasah dengan 87 orang dikenalpasti sebagai PUI dan dihantar ke Hospital Hulu Terengganu untuk menjalani proses kuarantin,” katanya pada sidang media hari ini.

Difahamkan, madrasah itu mempunyai 346 pelajar tahfiz, 27 tenaga pengajar dan 10 petugas sokongan.

Bagaimanapun, orang ramai dinasihat tidak panik kerana 87 penghuni madrasah itu hanya PUI dan proses kuarantin mengikut prosedur ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM).

Ditanya mengenai keputusan sama ada 87 PUI itu positif dijangkiti Covid-19, Dr Alias berkata, perkara itu hanya akan dimaklumkan KKM yang memiliki bidang kuasa untuk mengeluarkan sebarang kenyataan.

Dr Alias berkata, Terengganu mempunyai 4 pusat kuarantin untuk jangkitan Covid-19 iaitu Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) yang menyediakan 58 katil, Hospital Hulu Terengganu (156), Scout Inn Resort di Kuala Nerus (77) dan Pusat Latihan Felda (44).

“Semua pusat kuarantin ini sebagai persediaan jika terdapat tambahan PUI jangkitan Covid-19 dan semuanya masih kosong kecuali di Hospital Hulu Terengganu yang menempatkan 87 PUI dari madrasah itu.

“Kita sudah mengenalpasti beberapa lokasi sesuai untuk dijadikan pusat kuarantin jika jumlah itu bertambah,” katanya.