Covid-19: Jakoa tak benarkan program khidmat, lawatan kajian ke kampung Orang Asli

Jakoa minta program khidmat masyarakat dan lawatan melakukan kajian penyelidikan ditunda sehingga Covid-19 reda. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) tidak membenarkan sebarang program khidmat masyarakat dan lawatan melakukan kajian penyelidikan ke perkampungan Orang Asli berkuatkuasa serta-merta esok, kerana kebimbangan mengenai penularan koronavirus.

Ketua Pengarah Juli Edo dalam surat yang dilihat FMT berkata langkah itu bagi memastikan tahap kesihatan dan keselamatan penduduk di perkampungan Orang Asli daripada Covid-19.

“Oleh itu, mana-mana surat kebenaran yang dikeluarkan bagi tujuan ini terbatal dan perlu ditunda ke tarikh lain sehingga penyakit Covid-19 kembali reda,” katanya dalam surat edaran bertarikh 16 Mac.

Juli dalam surat itu meminta semua pegawai Jakoa daerah dan ketua-ketua masyarakat Orang Asli dimaklumkan bagi mencegah dan mengawal Covid-19 daripada merebak.