Dr M umum tanding semula jawatan pengerusi PPBM

Dr Mahathir Mohamad meletak jawatan sebagai pengerusi PPBM berikutan krisis politik yang berlaku bulan lepas, bagaimanapun kedudukannya dalam parti itu masih samar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Dr Mahathir Mohamad mengumumkan pencalonan dirinya bagi jawatan pengerusi PPBM pada pemilihan parti itu yang sedang bermula.

“Saya Dr Mahathir, ahli no 1 PPBM dan pengasas parti ini. Saya mencalonkan diri untuk bertanding jawatan pengerusi bagi menyelamatkan PPBM memandangkan ada segelintir pemimpin parti yang bekerjasama dengan golongan kleptokrat dan Umno bagi membentuk kerajaan pintu belakang.

“Sertai perjuangan kami untuk mengembalikan parti kita ke landasan sebenar,” katanya.

PPBM kini berpecah kepada 2 kem, iaitu yang masih setia bersama Mahathir dan kumpulan yang menyokong presiden parti itu, Muhyiddin Yassin yang kini membentuk kerajaan Perikatan Nasional menerusi kerjasama dengan Umno, GPS dan PAS.

Ketika ini, kedudukan Mahathir dalam parti masih samar dan tidak diketahui.

Beliau meletakkan jawatan sebagai pengerusi selepas Muhyiddin mengumumkan parti itu tidak lagi bersama Pakatan Harapan (PH) bulan lepas.

Bagaimanapun, setiausaha agung, Marzuki Yahya dilaporkan berkata, barisan kepemimpinan tertinggi PPBM menolak peletakan jawatan itu.

Muhyiddin mengumumkan dirinya pengerusi sementara PPBM sehingga pemilihan parti diadakan.