Kemelesetan ekonomi dijangka berlaku jika Covid-19 berterusan hingga Jun

Hampir 500 kes Covid-19 dilaporkan di negara ini sehingga 15 Mac.

PETALING JAYA: Pakar ekonomi memberi amaran kelemesetan ekonomi global dijangka berlaku jika pandemik Covid-19 berterusan sehingga Jun, menyebabkan kerajaan, syarikat dan rakyat akan lebih terbeban dengan hutang.

Pakar ekonomi, Mohd Nazari Ismail berkata, pandemik koronavirus memperlahankan ekonomi dengan langkah pengecilan operasi dan pemberhentian pekerja dilaksanakan beberapa sektor yang terjejas teruk seperti pelancongan, penerbangan dan industri berkaitan.

“Kerajaan tidak mampu untuk membantu banyak dalam situasi ini selain daripada membuat lebih banyak pinjaman untuk pakej rangsangan ekonomi,” katanya merujuk kepada pakej RM20 bilion yang diumumkan akhir Februari lalu.

Bagaimanapun hutang kerajaan yang lebih tinggi mungkin akan lebih membebankan pembayar cukai untuk jangka masa panjang, katanya.

Mohd Nazari Ismail

Hutang sektor awam dan jaminan kerajaan kini mencecah angka melebihi RM1 trilion.

“Tidak hairanlah kerajaan kini sedang menimbangkan langkah memperkenalkan semula Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) dalam usaha menyelesaikan masalah kewangan ini,” katanya merujuk cukai yang dimansuhkan itu sebelum ini.

Minggu lepas, Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin berkata kerajaan kini sedang mengkaji keperluan memperkenalkan semula GST yang dimansuhkan selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih pentadbiran negara pada Mei 2018.

“Tetapi ini adalah berita buruk untuk rakyat yang sudah sedia menerima kesan akibat penularan Covid- 19. Masalah utama kita kini adalah firma dan isi rumah dibebani hutang,” katanya.

Jumlah hutang keseluruhan isi rumah kini melebihi RM1.1 trilion.

“Golongan dan organisasi yang berhutang ini paling terkesan ketika kemelesetan ekonomi,” kata Nazari.

Beliau berkata, Malaysia perlu mengkaji semula model pembangunannya dan tidak terlalu bergantung kepada hutang.

“Berhutang dalam usaha mempercepatkan pembangunan ekonomi bukan langkah yang bijak,” katanya.

“Apabila ekonomi berdepan masalah, kebanyakan institusi kewangan masih mahu pelanggan melangsaikan pinjaman mereka.

“Pada masa itu organisasi dan individu yang berhutang menyedari kesilapan mereka. Mereka berisiko muflis. Namun, dalam kebanyakan kes, ia sudah terlalu lambat.”

Kemelesetan ekonomi global

Yeah Kim Leng

Profesor ekonomi Univeriti Sunway, Yeah Kim Leng berkata, ekonomi negara dijangka perlahan jika wabak Covid-19 berterusan sehingga akhir April ini dan bertukar negatif jika pandemik koronavirus itu berterusan selepas Jun.

Yeah yang juga bekas ketua ekonomi kumpulan RAM Holdings memberitahu FMT, sektor pembuatan akan mengalami pengurangan dalam rantaian bekalan berikutan kebanyakan negara kini mula melaksanakan perintah sekatan masuk dan keluar (lockdown) sebagai langkah mengekang penularan wabak.

Kilang di negara ini juga mungkin tidak mampu mendapatkan bekalan bahan mentah dari negara luar dengan cepat, tambahnya.

Ketika industri pelancongan terjejas teruk, acara awam, termasuk pameran dan konsert turut terjejas.

Yeah turut menggesa kerajaan supaya memastikan pasar raya mempunyai bekalan makanan yang mencukupi untuk keperluan rakyat. Langkah ini bagi menyediakan bantuan untuk petani dan industri penternakan.

Kerajaan juga perlu memastikan negara mempunyai bekalan peralatan perubatan yang mencukupi.

“Ia juga penting untuk rakyat mendapat maklumat yang sahih bagi mengelakkan berlaku situasi panik dalam kalangan rakyat,” katanya.

Muhyiddin baru-baru ini berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia dijangka berkurangan sebanyak 0.8% sehingga 1.2%, iaitu penurunan sebanyak RM10 bilion sehingg RM17 bilion.

KDNK menurun 2-3%

Hoo Ke Ping

Perunding perniagaan, Hoo Ke Ping menjangkakan pertumbuhan KDNK negara dijangka menurun kepada 2 sehingga 3% berbanding jangkaan sebelum ini 3.2 hingga 4.2%.

Beliau berkata, UK dan Eropah terjejas teruk berikutan Covid-19, sementara China lumpuh selepas pelaksanaan “lockdown” di Wuhan, pusat pandemik koronavirus.

Pelancong dari China, Singapura, India dan Indonesia dijangka tidak masuk ke negara ini, sekali gus menjejaskan hasil tunai sebanyak RM25 bilion.

Dengan harga minyak dunia AS$35-36 satu tong, Malaysia dijangka mengalami kehilangan hasil minyak sebanyak RM10 billion.

Beliau berkata, jika AS melaksanakan “lockdown” untuk mengekang jangkitan Covid-19, pendapatan negara dalam sektor elektrikal dan elektronik akan terkesan.

China mungkin tidak lagi membeli kayu balak, durian, perabot dan sarang burung dari negara ini, menyebabkan kerugian antara RM5 bilion sehingga RM7 bilion.

Beliau berkata sukar untuk mengetahui jumlah sebenar syarikat tempatan yang mungkin terjejas akibat kemelesetan ekonomi.