KKM: Lagi 125 kes baru Covid-19 dicatat hari ini

95 daripada 125 kes baru Covid-19 yang direkodkan hari ini adalah daripada kluster perhimpunan di Masjid Seri Petaling, Kuala Lumpur. (Gambar Facebook)

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan Dr Adham Baba mengumumkan sebanyak 125 kes baru Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah kes keseluruhan di Malaysia sebanyak 553 kes.

“95 kes ini dikaitkan dengan kluster perhimpunan di Masjid Seri Petaling,” katanya pada sidang akhbar di Kementerian Kesihatan di Putrajaya.

Ketika ditanya sama ada kerajaan akan melaksana sekatan keluar- masuk (lockdown) akibat penularan wabak itu, beliau enggan mengulas lanjut, sebaliknya meminta media menunggu satu pengumuman khas yang akan dibuat dalam masa terdekat.

“Tunggu pengumuman malam ini daripada perdana menteri,” katanya.
Media dimaklumkan, pengumuman tersebut akan dibuat oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dijangka pada jam 9 malam ini.

Mengulas lanjut, Adham berkata, sehingga kini terdapat 12 kes wabak berkenaan sedang menerima rawatan di Unit Penjagaan Rapi (ICU).

Perkembangan ini menyaksikan peningkatan 3 kes berbanding semalam.

Katanya, ketiga-tiga kes itu turut mempunyai kaitan dengan kluster perhimpunan di masjid Seri Petaling.

Dalam pada itu, beliau berkata kementerian memasuki tahap pembendungan akhir, iaitu “late containment” bertujuan membendung penularan jangkitan Covid-19.

Beliau turut memaklumkan, kerajaan akan meminta bantuan pasukan kesihatan dari negara China sebagai langkah akhir bagi membendung penularan wabak tersebut jika perlu.