Korea Selatan beri pampasan kepada kemudahan kesihatan rugi akibat Covid-19

Kerajaan Korea Selatan juga menyediakan pinjaman dengan kadar faedah rendah kepada hospital yang mengalami kerugian jualan melebihi 10% susulan Covid-19. (Gambar AP)

SEOUL: Korea Selatan memperuntukkan sejumlah 700 bilion won (RM2.463 bilion) sebagai pampasan kepada kemudahan perubatan yang mengalami kerugian akibat wabak novel koronavirus (Covid-19), lapor agensi berita Yonhap.

Perkara itu diumumkan pada mesyuarat kerajaan yang diketuai Perdana Menteri Chung Sye-kyun.

Pada peringkat awal sebanyak 200 juta won diperuntukkan kepada hospital yang terletak di bandar selatan Daegu dan di sekitar wilayah Gyeongsang Utara, yang menjadi pusat penyebaran wabak.

Kebanyakan hospital di rantau itu terpaksa menutup atau menghentikan sementara perniagaan mereka selepas diarahkan menjadi pusat untuk merawat pesakit Covid-19.

Kerajaan juga menyediakan pinjaman dengan kadar faedah rendah kepada hospital yang mengalami kerugian jualan melebihi 10%.

Korea Selatan menyaksikan trend penurunan dalam kes jangkitan baru apabila pada Isnin hanya 74 kes dilaporkan dengan jumlah keseluruhan jangkitan sebanyak 8,236, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea.