Majlis kebangsaan bincang pandangan hukum berkait Covid-19 untuk persetujuan raja

Menteri Zulkifli Mohamad mempengerusikan mesyuarat khas di Putrajaya malam tadi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Pegawai pihak berkuasa agama dan sarjana Islam semalam mengadakan mesyuarat khas bagi mendapatkan pandangan agama mengenai pandemik Covid-19, susulan peningkatan jangkitan baru yang dikaitkan dengan suatu himpunan keagamaan di Sri Petaling 2 minggu lalu.

Antara pertama yang dibincangkan berkaitan perhimpunan agama besar-besaran, juga pengurusan jenazah bagi mayat yang dijangkiti penyakit berjangkit seperti Covid-19, menurut Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah.

Setakat ini tiada kematian daripada jangkitan Covid-19 antara 428 kes yang dilaporkan setakat tengah hari semalam.

Bagaimanapun, 190 kes jangkitan baru dilaporkan yang kebanyakannya daripada perhimpunan tabligh yang dihadiri 14,500 orang tempatan dan kira-kira 1,500 warga asing di sebuah masjid di Sri Petaling di ibu negara 2 minggu lalu.

Mesyuarat khas jawatankuasa muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) itu berlangsung di sebalik seruan menyeru tindakan tegas terhadap perhimpunan besar. Kementerian Kesihatan sebelum ini menasihatkan perhimpunan membabitkan lebih 50 individu hendaklah ditangguhkan.

Pegawai pihak berkuasa agama mutakhir ini mengambil pendirian tidak sama mengenai pembatalan solat Jumaat atau sama ada masjid harus ditutup.

Mesyuarat di Putrajaya semalam diadakan atas arahan Agong, Sultan Abdullah.

Kenyataan Menteri Hal Ehwal Agama, Zulkifli Mohamad berkata keputusan pandangan hukum berhubung pandemik Covid-19 akan diserahkan kepada Agong dan raja-raja bagi mendapat persetujuan untuk tindakan lanjut.

“Ahli-ahli muzakarah juga meneliti pembentangan kajian pandangan hukum oleh Dr Aizam Mas’od, pengarah Pusat Penyelidikan dan Pengurusan Fatwa al-Zuhaili (ACE), Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan,” katanya.

Kenyataan itu tidak memberikan butiran konsensus yang dicapai atau tindakan lanjut yang dicadangkan.

Solat Jumaat minggu lepas tidak diadakan di Perlis, manakala masjid-masjid di Wilayah Persekutuan dijalankan dengan khutbah yang pendek dan jemaah diminta mengambil wuduk di rumah.

Mesyuarat itu, dipengerusikan pengerusi jawatankuasa muzakarah MKI, Wan Zahidi Wan Teh, dihadiri semua mufti dan wakilnya, pengarah jabatan agama negeri dan wakil majlis agama negeri.

Selain Noor Hisham, turut hadir Ketua Pengarah Agensi Pengurusan Bencana Negara, Mohtar Mohd Abd Rahman, yang memberikan taklimat mutakhir dan terkini berkenaan Covid-19.

Turut berlangsung sebelum itu perbincangan antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia dan Kementerian Kesihatan bersama pimpinan gerakan tabligh dan pengurusan Masjid Jamek Sri Petaling secara sidang video.

Antara perkara yang dibincangkan kluster jangkitan dalam kalangan jemaah tabligh dan tindakan pihak kementerian dan masjid.

“Pihak pengurusan masjid jamek akan membantu dan bekerjasama rapat dengan Kementerian Kesihatan dan Jakim untuk terus berkomunikasi dengan ahli jemaah tabligh terutama bagi memastikan semua yang terlibat dapat hadir untuk pemeriksaan, saringan atau ujian yang ditetapkan,” katanya.

Peserta perhimpunan tabligh itu akan diletakkan bawah pengawasan dan pemerhatian mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit.