Menteri nafi mesej tular dakwa ‘lockdown’ hari ini

KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan menafikan mesej yang tular dalam media sosial semalam bahawa Malaysia akan dikenakan perintah sekatan pergerakan masuk dan keluar (lockdown) hari ini ekoran penularan Covid-19.

Menteri Dr Adham Baba di Facebook berkata penyebaran infografik mengenai “lockdown” adalah palsu.

“Tiada sebarang perintah ‘lockdown’ buat masa ini. Mohon hentikan penyebaran khabar palsu seperti ini,” katanya.

Sejak petang semalam, tular infografik melalui Facebook dan Whatsapp dengan tanda pagar #Malaysialockdown pada Isnin 16 Mac 2020, 8 hingga 10 pm.

Infografik itu juga mengandungi beberapa larangan iaitu jangan keluar dari rumah, jangan keluar ke tempat awam seperti pasar raya dan restoran.

Adham menggesa rakyat mematuhi nasihat kesihatan dan penjarakkan sosial satu meter yang diberikan dari semasa ke semasa oleh Kementerian Kesihatan.

Sebanyak 190 kes baru dilaporkan positif Covid-19 setakat 12 tengah semalam menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 428 kes.