MOF tubuh Laksana pantau, tambah baik pakej rangsangan ekonomi 2020 hadapi Covid-19

Menteri Kewangan Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Laksana akan membuat laporan berkala kepada Majlis Tindakan Ekonomi berhubung status pelaksanaan dan pencapaian inisiatif berkaitan rangsangan ekonomi. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan (MOF) mengumumkan penubuhan Unit Pelaksanaan & Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) di kementerian itu bagi memantau pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi (PRE) 2020.

Menterinya Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, Laksana akan membuat laporan secara berkala kepada mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi berhubung status pelaksanaan dan pencapaian inisiatif berkaitan rangsangan ekonomi.

“Saya percaya penubuhan unit ini akan memastikan inisiatif yang diumumkan di bawah PRE 2020 dan inisiatif selanjutnya dapat dilaksanakan dalam masa terdekat dengan sempurna bagi memastikan ekonomi negara kekal kukuh dan kebajikan rakyat dipelihara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi mingguan yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Muhyiddin Yassin akan memantau perkembangan ekonomi semasa dan mempertimbangkan langkah tambahan serta penambahbaikan ke atas PRE 2020.

Sehubungan itu,beliau berkata Laksana juga akan berperanan memastikan pelaksanaan langkah baru dan penambahbaikan PRE 2020.

“Kerajaan komited bagi memastikan kesemua inisiatif yang diumumkan dalam PRE 2020 dapat dilaksanakan dengan segera dan efektif,” katanya.

PRE 2020 bernilai RM20 bilion yang diumumkan pada 27 Februari dirangka bagi memastikan risiko ekonomi berikutan penularan wabak Covid-19 dapat ditangani.

Pada masa yang sama, inisiatif yang dirangka itu juga adalah bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kesejahteraan rakyat terjamin.