Mukhriz cabar Muhyiddin untuk jawatan presiden PPBM

Presiden PPBM Muhyiddin Yassin berdepan cabaran timbalannya Mukhriz Mahathir dan seorang calon lain bagi jawatan tertinggi parti itu dalam pemilihan akan datang. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Timbalan Presiden PPBM Mukhriz Mahathir adalah antara 2 calon yang disahkan akan mencabar Muhyiddin Yassin untuk jawatan presiden parti itu dalam pemilihan akan datang.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PPBM, Syed Hamid Albar berkata untuk jawatan presiden terdapat 3 calon yang akan bertanding.

“Dr Mahathir Mohamad akan bertanding balik jawatan sebagai pengerusi. Tak nampak calon lain,” katanya pada majlis pendaftaran pencalonan peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi, Wanita dan Pemuda parti itu di Menara Yayasan Selangor di sini, hari ini.

Syed Hamid berkata, majlis penyerahan borang pencalonan bermula pada 10 pagi dan tamat pada jam 3 petang tadi.

Beliau berkata, sambutan amat memberangsangkan untuk semua jawatan yang dipertandingkan.

“Pertandingan untuk semua kedudukan nampak begitu meriah.
“Ramai nak bertanding. Ini menunjukkan mereka ada minat mendalam dalam politik PPBM,” katanya.

Pencalonan untuk jawatan utama parti akan diadakan pada hari ini dan perwakilan dari 189 bahagian akan mengundi pada 18 April.

Pemilihan akan berlangsung pada perhimpunan agung PPBM yang dijadualkan pada 20 Jun.

Perwakilan juga akan memilih 3 naib presiden dan 20 ahli Majlis Pimpinan Tertinggi.

PPBM menang 13 kerusi Parlimen pada pilihan raya umum ke-14. Ia kemudiannya memperoleh 13 kerusi tambahan susulan penghijrahan ahli Parlimen daripada Umno.

Parti itu bagaimanapun kalah dalam pilihan raya kecil Tanjung Piai pada 16 Nov tahun lepas.

Dalam pada itu, Syed Hamid berkata Muhyiddin dan Mukhriz akan dicabar oleh ketua Bahagian PPBM Cheras, Mohd Faiz Azlee Sham.

Manakala bagi jawatan timbalan presiden, Syed Hamid berkata terdapat 3 calon akan bertanding, iaitu setiausaha agung PPBM, Marzuki Yahya, pengerusi PPBM Perak, Ahmad Faizal Azumu dan timbalan ketua Pemuda PPBM Selangor, Anas Akashah Nazri.

Beliau juga berkata, terdapat 169 calon untuk jawatan naib presiden PPBM, yang antaranya ialah Abdul Rashid, Salahuddin Amiruddin, Mohd Nizam Mohd Noh, Irwan Mohd, Mohd Shahni bin Ismail, Mohd Redzuan Mohd Yusof, Sabri Mohd, Abdul Rashid Asari, Sabirin Jaafar, Mohd Radzi Jidin, Mohd Rafiq, Hadivshan Abdullah, Ramizal Basiran, Ronald Kiandee dan Mazlan Bujang.

Syed Hamid berkata, bagi ketua Pemuda sebanyak 3 calon bakal bertanding iaitu Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, Muzzamil Ismail dan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Beliau berkata, untuk ketua Wanita PPBM pula, terdapat 4 calon iaitu Rina Harun, Azlina Mehtab Mohd Ishab, Iza Ismail dan Zuhuraina Makmur.

Dalam pada itu Syed Hamid berkata, beliau mahu melihat calon mempunyai integriti dan bersih.

Beliau berharap calon tidak menggunakan kedudukan dan duit dalam kempen mereka untuk memenangi jawatan yang ditandingi.

“Kita ada mesyuarat bahagian dan cawangan ada buat aduan terdapat politik wang.

“Jadi setiap aduan integriti ini, kalau menang pun, akhirnya kalau Lembaga Disiplin tengok betul ada bukti sahih salah guna kuasa dan wang beli undi, dia boleh hilang jawatan dan juga kedudukan dalam parti,” katanya.

Tambahnya, individu yang didapati salah juga mungkin boleh digantung dan dibuang parti.

“Saya nasihatkan untuk kebaikan, buat secara baik, kalau orang nak kita. Jawatan ini kita boleh rancang tapi Allah tentukan,” katanya.