Muzium, perpustakaan, fasiliti awam di bawah MoTAC ditutup hingga 30 April

Istana Budaya adalah antara fasiliti awam yang ditutup sementara serta-merta sehingga 30 April dalam usaha mencegah penularan Covid-19. (Gambar fail)

PETALING JAYA: Kementerian Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan Malaysia (MoTAC) mengarahkan semua fasiliti awam jabatan dan agensi di bawah kementerian itu ditutup sementara berkuat kuasa serta merta sehingga 30 April ini.

Dalam satu kenyataan hari ini Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Nancy Shukri berkata, tindakan itu dibuat selepas mengambil kira kepentingan kesihatan awam bagi menyekat penularan wabak Covid-19.

Beliau berkata, semua ketua jabatan dan agensi diarahkan untuk menutup fasiliti awam di bawah seliaan masing-masing dan melakukan disinfektasi di semua ruangan kunjungan terbabit.

Fasiliti kendalian jabatan dan agensi di bawah MoTAC adalah Jabatan Muzium Malaysia (JMM), Lembaga Pembangunan Seni Visual Negara (LPSVN), Jabatan Warisan Negara (JWN), Arkib Negara Malaysia (ANM), Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia, Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN), Istana Budaya dan Pusat Pelancongan Malaysia (MaTIC).

“Selari dengan usaha dikendalikan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), MoTAC menyeru semua pihak termasuk orang ramai untuk sama-sama membantu dalam menyekat penularan wabak ini.

“Mencegah adalah lebih baik daripada mengubati,” katanya.