Peguam berbeza pandangan tentang label ‘kerajaan pintu belakang’

PETALING JAYA: Para peguam berbeza pandangan mengenai penggunaan istilah “kerajaan pintu belakang” untuk menggambarkan pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin, yang diumumkan minggu lepas susulan kacau-bilai politik selepas tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan.

Jahaberdeen M Yunoss berkata tidak adil untuk melibat kerajan Perikatan Nasional begitu, mengatakan pandangan itu sama ada “betul-betul tidak tahu” atau “ketidakjujuran intelektual yang diselubungi prejudis berat sebelah”.

Semasa pilihan raya umum ke-14, katanya, pengundi memilih 222 ahli Parlimen ke Dewan Rakyat manakala pengerusi PH Dr Mahathir Mohamad dilantik sebagai perdana menteri oleh Agong.

“Keputusan di tangan Agong, dan Agong melantik seorang ahli Parlimen yang mungkin mendapat sokongan majoriti ahli Parlimen, seperti yang ditetapkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Beliau menambah Agong melalui proses itu selepas Mahathir meletakkan jawatan perdana menteri pada 24 Feb tanpa menasihati Agong supaya membubarkan Parlimen untuk pilihan raya kilat diadakan.

“Agong bertemu ahli Parlimen bagi tentukan siapa dalam kalangan 222 ahli Parlimen yang ada sokongan majoriti,” katanya.

“Jadi sudah jelas kerajaan semasa ditubuhkan mengikut Perlembagaan dan kedaulatan undang-undang.”

Beliau juga berkata kerajaan Muhyiddin akan tumbang jika undi tidak percaya berjaya apabila Dewan Rakyat bersidang pada 18 Mei.

Beliau berkata persatuan sivil harus terus mendidik rakyat mengenai kepentingan melantik ahli Parlimen yang berintegriti dan ada kredibiliti.

“Didik orang ramai tentang Perlembagaan dalam penubuhan suatu pentadbiran daripada jerit ‘kerajaan pintu belakang’,” tambahnya.

Seorang hakim bersara, Gopal Sri Ram pula berkata konsep perlembagaan berdasarkan model Westminster seperti di Malaysia berpusat pada demokrasi berparlimen.

“Orang yang kurang cerdas pun boleh beritahu kamu yang kerajaan ini bukan yang dipilih rakyat,” katanya kepada FMT.

“Oleh itu, ia tidak mengikut perlembagaan kerana ia bertentangan dengan struktur asas perlembagaan, yang mana demokrasi berpalrimen merupakan bahagian yang penting.

“Ia mungkin kerajaan yang ikut perlembagaan dari segi bentuk, tapi isinya tidak.”

Bastian Pius Vendargon berkata Muhyiddin, yang bertanding atas tiket PH pada PRU14 dan berikrar akan melaksanakan manifestonya, dari segi moral tidak boleh mendakwa kerajaannya terbentuk dengan sokonngan ahli Parlimen pembangkang.

Beliau berkata Muhyiddin patut segera ke Parlimen bagi membuktikan beliau dapat sokongan majoriti sebelum langkah seterusnya.

“Sebab itu ramai orang kata ia kerajaan pintu belakang. Ia mungkin boleh ditakrifkan sebagai kerajaan tanpa ‘moral standing’ dalam suatu demokrasi.”

GK Ganesan berkata kerajaan PH dilantik menerusi pilihan langsung majoriti 14.8 juta pengundi manakala PN hanyalah “binaan” dnegan hanya lebih 112 ahli Parlimen.

“Sekarang kita ada kerajaan tanpa kompas, kerana rakyat tidak memberikan kuasa kepadanya untuk memimpin.”