Perbicaraan kes di mahkamah berjalan seperti biasa, kata hakim

Negara mencatatkan 125 kes baru Covid-19, menjadikan jumlah kumulatif 553 kes.

KUALA LUMPUR: Semua perbicaraan kes di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur akan diteruskan seperti ditetapkan sehingga arahan berhubung perintah berkurung (lockdown) dikeluarkan susulan penularan virus Covid-19.

Hakim Mahkamah Sesyen, Rozina Ayob berkata pihaknya telah menerima arahan daripada ketua hakim negara menerusi Pejabat Ketua Pendaftar berhubung perjalanan kes di mahkamah.

“Bagi kes-kes sebutan, tarikh akan diberikan selepas bulan April namun bagi kes yang ditetapkan untuk perbicaraan hendaklah diteruskan melainkan jika ‘lockdown’, akan ada arahan seterusnya oleh pihak mahkamah.

“Saya pasti pihak mahkamah akan membuat pengumuman melibatkan apa-apa kes perbicaraan, namun buat masa ini arahan untuk meneruskan perbicaraan sahaja,” katanya semasa perbicaraan kes rasuah dihadapi ahli Parlimen Kinabatangan, Bung Moktar Radin dan isterinya yang juga pelakon, Zizie Ezette A Samad.

Beliau berkata demikian selepas peguam K Kumaraendran, yang mewaklili Zizie, bertanya kepada mahkamah apakah yang akan berlaku kepada perbicaraan sekiranya ada arahan berhubung “lockdown”.

Menurut Menteri Kesihatanm, Dr Adham Baba sebanyak 125 kes baru dilaporkan positif Covid-19 setakat tengah hari ini, menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 553 kes.