Pimpinan tabligh arah aktiviti ‘yang boleh timbul kerisauan’ dihentikan

PETALING JAYA: Pimpinan tabligh hari ini mengarahkan semua aktiviti gerakan itu yang “boleh menimbulkan kerisauan dan penularan wabak” koronarivus dihentikan serta-merta, menyahut peringatan kerajaan untuk mengambil langkah pencegahan yang wajar.

Markas Dakwah Tabligh Malaysia Sri Petaling juga mengarahkan untuk sepanjang tempoh kuarantin Masjid Sri Petaling, tiada jemaah dibenarkan datang dan tiada jemaah akan dihantar keluar dari markas sehingga keputusan mesyuarat selanjutnya.

Mereka yang menghadiri perhimpunan tabligh, yang diadakan pada 28 Februari hingga 1 Mac lalu dan menarik perhatian selepas ada pesertanya didapati positif Covid-19, diarah segera menghubungi pejabat kesihatan daerah atau hotline Pusat Kesiapsiagaan dan Tindak Cepat Krisis Kebangsaan (CPRC) untuk mendapatkan bimbingan dan rawatan perubatan.

“Kami harap semua keputusan ini akan dapat ditaati dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh,” kata Ahli Mesyuarat Abdullah Cheong dalam kenyataan semalam.

Katanya, semua 28 markas dakwah seluruh negara ditekankan supaya mematuhi dan mengambil tanggungjawab penuh dalam bekerjasama dengan pihak berkuasa “supaya kerisauan, ketegangan, dan tanggapan salah dari mana-mana pihak, baik masyarakat umum mahupun pihak berkuasa, dapat diredakan.”

Setakat 14 Mac, seramai 4,942 peserta perhimpunan tabligh berjaya dikenalpasti, di mana 3,069 datang sendiri ke klinik kesihatan untuk pemeriksaan dan saringan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan.

Daripada jumlah tersebut, 1,634 mengalami gejala jangkitan saluran pernafasan dan diambil sampel, 137 orang dirujuk ke hospital, dan 2,932 peserta diarah menjalani “home surveillance” di rumah masing-masing untuk tempoh 14 hari dari tarikh akhir menghadiri perhimpunan tabligh.

“Penyiasatan dan pengesanan peserta perhimpunan masih diteruskan,” katanya.