JPPM larang semua pertubuhan adakan program, aktiviti dan mesyuarat agung hingga 30 Jun

Jabatan Pendaftar Pertubuhan berkata, arahan khas melarang semua pertubuhan mengadakan apa-apa program dan mesyuarat agung selaras dengan Seksyen 3A Akta Pertubuhan bagi membantu mencegah penularan wabak Covid-19.

PUTRAJAYA: Semua pertubuhan dilarang mengadakan program, aktiviti, persidangan, perhimpunan dan mesyuarat agung pertubuhan sehingga 30 Jun, selaras dengan arahan-arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan berikutan penularan jangkitan Covid-19.

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) selaku jabatan yang mengawal selia pertubuhan berdaftar di Malaysia berkata, larangan itu adalah terpakai di setiap peringkat pertubuhan termasuk cawangan di seluruh negara.

“Arahan khas yang dikeluarkan ini adalah selaras dengan kuasa-kuasa Pendaftar di bawah peruntukan Seksyen 3A Akta Pertubuhan (akta 335),” katanya dalam kenyataan hari ini.

JPPM berkata, sekiranya sehingga pada tarikh 30 Jun, wabak Covid-19 dalam situasi meruncing maka pertubuhan hendaklah mengemukakan permohonan untuk pertimbangan bagi perlanjutan tempoh daripada tarikh awal yang ditetapkan.

“Permohonan perlanjutan adalah bertujuan untuk mengelakkan penyalahgunaan oleh pertubuhan berdaftar ke atas undang-undang tubuh pertubuhan serta Akta 335.

“Diharapkan segala usaha dan langkah pencegahan yang dilakukan oleh kerajaan akan dapat membantu mencegah penularan Covid-19, sekali gus melindungi rakyat Malaysia daripada wabak itu,” katanya.

Menurutnya, kerajaan sedang giat melaksanakan usaha mencegah penularan wabak yang telah diisytiharkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebagai pandemik pada 11 Mac berikutan peningkatan kes yang semakin ketara di seluruh dunia, termasuk Malaysia.

“Selaras dengan itu, beberapa arahan dikeluarkan oleh kerajaan bahawa semua perhimpunan, termasuk mesyuarat ditangguhkan atau dibatalkan bagi suatu tempoh tertentu,” katanya.