Sabar, anggota baru Kabinet perlu masa, kata Muhyiddin

Kumpulan hak asasi wanita bimbang atas pelantikan Rina Harun dan Siti Zailah Mohd Yusoff sebagai menteri dan timbalan menteri di Kementerian Wanita dan Keluarga berdasarkan rekod prestasi mereka yang didakwa tidak begitu meyakinkan.

PUTRAJAYA: Perdana Menteri Muhyiddin Yassin berkata, mana-mana anggota Kabinet yang memegang portfolio baru akan memerlukan masa untuk meneliti kementerian terbabit dan menguruskannya dengan baik.

Mengulas kebimbangan kumpulan wanita berkaitan pelantikan menteri dan timbalan bagi Kementerian Wanita dan Keluarga, Muhyiddin berkata, beliau memberi taklimat kepada Rina Mohd Harun, mengenai perkara yang perlu dilakukan untuk mengurus kementerian itu.

“Ini bukan bermakna beliau tidak berpengalaman langsung. Setiap orang sudah pasti memerlukan masa untuk meneliti portfolio baru,” katanya sambil menambah beliau juga memaklumkan Rina supaya bekerjasama dengan timbalannya, Siti Zailah Mohd Yusoff.

Menurut laporan media, kumpulan hak asasi wanita menyatakan kebimbangan mengenai pelantikan Rina dan Siti Zailah berdasarkan rekod prestasi mereka yang didakwa tidak begitu meyakinkan.

“Apa yang penting bukanlah pandangan peribadi beliau. Yang penting ialah apa yang kerajaan fikir dan apa yang beliau atau sesiapa sahaja dalam kementerian perlu fahami,” kata Muhyiddin pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Majlis Tindakan Ekonomi (EAC mesyuarat di sini.

“Bersabarlah, kami akan menguruskannya,” katanya.