Sultan Selangor gesa henti tohmahan ‘kerajaan pintu belakang’

SHAH ALAM: Sultan Selangor hari ini menggesa tohmahan “kerajaan pintu belakang” terhadap pentadbiran Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dihentikan.

Dakwaan itu tidak tepat kerana Agong diberi kuasa untuk menggunakan budi bicara yang diperuntukkan undang-undang, kata Sultan Sharafuddin Idris Shah.

“Walaupun kerajaan Selangor diterajui kerajaan Pakatan Harapan, namun demi kelangsungan pembangunan ekonomi dan kemakmuran rakyat, saya mengharapkan satu kerjasama yang erat dapat dijalinkan di antara kerajaan Selangor dan kerajaan persekutuan.

“Saya tidak mahu disebabkan perbezaan tampuk pemerintahan dan ideologi politik akan menyebabkan rakyat terpinggir di dalam arus pembangunan ekonomi dan sosial,” katanya ketika berucap di Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ke-3 Dewan Negeri Selangor yang ke-14 2020 di Dewan Negeri Selangor.

Pentadbiran PH tumbang akhir bulan lalu selepas Muhyiddin dan beberapa ahli Parlimen membentuk sebuah blok baru dengan Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak.

Dalam pada itu, Sultan Sharafuddin tidak mahu ada dalam kalangan ahli-ahli Adun Selangor yang mempunyai hasrat dan niat untuk mengkucar-kacirkan pentadbiran dan pemerintahan negeri.

Beliau mahu para Adun berusaha memastikan kestabilan politik sentiasa terpelihara demi kesejahteraan rakyat.

“Baru-baru ini kita melihat perubahan kepada tampuk pemerintahan kerajaan persekutuan yang diterajui kerajaan Perikatan Nasional bagi menggantikan kerajaan Pakatan Harapan.

“Saya mengikuti perkembangan perubahan kuasa tersebut yang dilaksanakan oleh Agong dengan cukup berhati-hati dan selepas perundingan yang teliti dan terbuka diadakan, selaras dengan peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Sultan Sharafuddin sedar dalam menegakkan pemerintahan berkonsepkan demokrasi berparlimen dan raja berperlembagaan, institusi raja tidak sepatutnya dilihat terlibat secara langsung dengan isu-isu yang berkaitan politik dan seharusnya kekal sebagai sebuah badan yang mengatasi politik “above politics”.

Katanya, sultan bertanggungjawab untuk menasihati Adun sekalian agar tidak melakukan sesuatu tindakan yang tidak bertanggungjawab yang boleh merugikan rakyat.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak tentera, polis, bomba dan penyelamat serta anggota keselamatan yang bertugas dengan penuh dedikasi bagi memastikan keselamatan rakyat dan Selangor terus dalam keadaan aman dan sejahtera,” katanya.