Utamakan bekalan topeng muka kepada petugas baris depan Covid-19, kata pakar

Petugas barisan hadapan seperti doktor, jururawat, staf klinik dan polis berurusan secara langsung dengan pesakit dalam memerangi Covid-19, tetapi kekurangan bekalan penutup mulut dan hidung di pasaran menyukarkan mereka mendapatkannya.

KUALA LUMPUR: Petugas barisan hadapan dan orang yang bergejala perlu diberi keutamaan bagi mendapatkan bekalan penutup mulut dan hidung, kata presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia, Dr Zainal Ariffin Omar.

Hal ini kerana petugas barisan hadapan seperti doktor, jururawat, staf klinik dan polis perlu berurusan secara langsung dengan pesakit dalam memerangi Covid-19, namun kekangan bekalan penutup mulut dan hidung dalam pasaran mengakibatkan mereka sukar mendapatkannya.

“Bekalan penutup mulut dan hidung memang terhad sekarang jadi kita kena beri keutamaan kepada petugas barisan hadapan yang berurusan secara langsung dengan pesakit.

“Orang yang bergejala juga perlu pakai penutup itu untuk elak jangkitan. Buat masa ini, jangan bazirkan sumber penutup mulut dan hidung,” katanya.

Beliau berkata, selain memakai penutup mulut dan hidung, orang ramai boleh mengamalkan jarak sosial dan mencuci tangan dengan kerap bagi mengelakkan jangkitan.

Sementara itu, presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr N Ganabaskaran, berkata penggunaan penutup mulut dan hidung tidak wajib bagi orang ramai sebaliknya ia lebih penting buat petugas barisan hadapan.

“Petugas barisan hadapan di hospital dan klinik seperti doktor dan jururawat lebih memerlukan penutup mulut dan hidung jika tidak, ia akan memudaratkan kesihatan mereka.

“Mereka adalah orang yang bertugas merawat pesakit jadi kesihatan mereka perlu dijaga dan diberi keutamaan,” katanya.

Beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membeli penutup mulut dan hidung secara berlebihan jika tidak berkeperluan.

Di samping itu, beliau mengingatkan perkara utama bagi mencegah jangkitan Covid-19 adalah melalui penjagaan kebersihan diri dengan membasuh tangan dan tidak meludah merata-rata.