Ahli Parlimen Bandar Kuching disahkan positif Covid-19

Kelvin Yii. (Gambar Facebook)

KUCHING: Ahli Parlimen Bandar Kuching, Kelvin Yii disahkan positif Covid-19 selepas dikatakan berhubung dengan Ahli Parlimen Sarikei, Wong Ling Biu yang sedang dirawat kerana virus itu.

Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jen dalam kenyataan berkata, Yii yang kini bawah kuarantin di Hospital Umum Sarawak, asimptomatik tetapi dalam keadaan stabil.

Beliau berkata, Yii berhubung dengan Wong pada 2 Mac.

Chong disahkan negatif daripada dijangkiti virus terbabit.

“Jabatan kesihatan kini dalam usaha mengesan kemungkinan kontak dan sumber jangkitan lain selain Yii berhubung dengan Wong.

“Kami menasihatkan orang ramai yang berhubung dengan Yii supaya tidak panik tetapi terus mengambil langkah berjaga-jaga yang perlu untuk mengelakkan penyebaran virus itu, “katanya.

Chong turut menasihatkan orang ramai supaya terus mengamalkan penjarakkan sosial dan kuarantin secara sukarela, mengelak perjalanan tidak perlu dan mengekalkan kebersihan diri yang baik.

Pada Sabtu lalu, Pengarah Kesihatan Sawarak, Dr Chin Zin Hong mengesahkan Wong dirawat di Hospital Sibu sebagai pesakit Covid-19.

Wong dikatakan menghadiri beberapa mesyuarat politik di Kuala Lumpur dari 29 Feb hingga minggu lalu berikutan pergolakan politik yang menyaksikan kerajaan Pakatan Harapan tumbang.

Turut dilaporkan anaknya, Jackie Wong yang juga atlet kebangsaan, disahkan positif Covid-19 selepas melawat bapanya di hospital.

Sementara itu, pembantu politiknya, Rinda Juliza Alexander, dalam kenyataan menyatakan Wong masih menjalani rawatan di wad pengasingan di Hospital Sibu.

“Walaupun keadaannya kritikal, beliau stabil,” katanya.