Arahan maklumkan polis sebelum balik kampung ditarik balik

Abdul Hamid Bador berkata, orang ramai tidak perlu mengisi borang sebelum merentas sempadan negeri buat masa ini.

PETALING JAYA: Polis menarik balik syarat mengisi borang makluman untuk mereka yang hendak balik ke kampung kerana bimbang kesesakan di luar balai polis akan menggagalkan usaha kerajaan mengekang penularan Covid-19.

Ketua Polis Negara, Abdul Hamid Bador berkata, orang ramai tidak perlu mengisi borang sebelum merentas sempadan negeri buat masa ini.

Bagaimanapun, beliau meminta orang ramai mengurangkan pergerakan mereka susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai esok hingga 31 Mac ini.

“Keperluan mendapatkan pengecualian di bawah Perintah Kawalan Pergerakan ini ditangguhkan buat sementara bagi menyelesaikan kesesakan dan kesulitan yang dihadapi semua pihak,” katanya dalam kenyataan malam ini.

Dalam arahan asalnya, Hamid berkata, hanya mereka yang perlu menghadiri upacara pengebumian, melawat ahli keluarga sakit, memerlukan rawatan perubatan dan alasan lain yang dirasakan baik oleh polis dibenarkan merentas sempadan negeri.

Terdahulu, Hamid dalam sidang media di Bukit Aman petang tadi berkata, rakyat tidak dibenarkan bercuti di negeri lain, termasuk mereka yang sudah membeli tiket penerbangan.

Katanya, orang ramai perlu memaklumkan balai polis terdekat jika mahu balik kampung.

Beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan akan gagal jika orang ramai menjelajah ikut kehendak mereka.