Covid-19: NGO gesa KDN beri perhatian khusus kepada tahanan

PETALING JAYA: Sebuah badan bukan kerajaan, Eliminating Deaths and Abuse in Custody Together (Edict) menggesa Menteri Dalam Negeri Hamzah Zainuddin memberikan perhatian khusus kepada para tahanan susulan penyebaran Covid-19 yang semakin membimbangkan.

Naib Pengerusi Rama Ramanathan mendakwa semasa inkues dijalankan, terdapat bukti yang jelas mengenai keadaan yang teruk didalam lokap sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.

“Keadaan yang teruk ini juga tidak ada bezanya dengan lokap-lokap lain di seluruh negara kita.

“Berdasarkan bukti yang diberikan oleh para tahanan, kakitangan lokap dan juga doktor, kita maklum bahawa terdapat begitu banyak kegagalan dalam mengurus lokap. Perkara ini amat perlu diambil berat,” katanya dalam kenyataan.

Sehingga semalam, Kementerian Kesihatan memaklumkan sebanyak 553 kes jangkitan wabak Covid-19 direkodkan sehingga kini dengan penambahan sebanyak 159 kes hari ini.

Semalam, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin menggesa rakyat supaya bertenang dan bersabar selepas beliau mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan mulai 18 Mac hingga 31 Mac di seluruh negara.

Dalam pada itu, Rama berkata perhatian perlu diberikan kepada tahanan selepas mendakwa mereka tidak mendapat bekalan air bersih mencukupi.

Beliau berkata seperti kes Thanabalan Subramaniam yang didapati mati di Lokap Berpusat Shah Alam, dia terpaksa menghilangkan dahaga dengan meminum air basuhan daripada tandas cangkung di dalam lokap.

“Seorang daripada rakan selnya menjelaskan bahawa mereka terpaksa mendapatkan air daripada tandas menggunakan botol,” katanya.

Rama mendakwa keperluan asas tahanan juga tidak dipenuh dan mereka ditempatkan didalam sel yang tertutup, sempit, pengudaraan yang teruk serta tidur di atas lantai.

Beliau berkata mereka tidak dapat
memberus gigi dan mandi.

“Mereka terdedah kepada penyakit seperti leptospirosis dan penyakit kulit berjangkit,” katanya.

Rama mendakwa keperluan perubatan tahanan juga tidak dipenuhi.

Katanya, apabila tahanan sakit, mereka tidak mendapat rawatan awal dan wajar.

“Walaupun mereka sepatutnya perlu memakan ubat namun mereka tidak dapat menerima ubat tersebut.

“Lebih teruk, sebahagian tahanan yang mempunyai penyakit kritikal juga ditahan dalam lokap,” katanya.

Rama juga berkata, kakitangan lokap berasa bimbang mengenai kesihatan mereka yang berisiko apabila mereka berada dalam kawasan lokap bersama para tahanan.

Beliau berkara Edict menjelaskan keadaan-keadaan yang menjadi bukti di mahkamah
koroner kebelakangan ini.

“Kami faham punca kematian dan penderaan dalam tahanan bukan sahaja terhad kepada lokap.

“Kematian dan penderaan ini juga berlaku di pusat tahanan imigresen dan penjara,” katanya.

Sementara itu, Rama berkata pegawai-pegawai polis, penjara, imigresen dan tahanan-tahanan mereka, pegawai-pegawai perubatan yang merawat mereka terdedah kepada risiko penyakit berjangkit termasuk Covid-19.

Beliau menggesa Hamzah mengambil langkah seperti mamastikan bukti kukuh didapatkan terlebih dahulu sebelum menahan seseorang.

“Ini akan mengurangkan kepadatan lokap,” katanya.

Rama juga berkata Hamzah boleh kenakan tindakan disiplin kepada mana-mana pegawai yang menahan tahanan yang disahkan sakit dan tidak boleh ditahan oleh pegawai perubatan.

Beliau berkata seterusnya mengambil langkah pantas memperbaiki kegagalan dalam lokap.

“Contohnya, segera baiki sistem pengudaraan yang rosak dan menyediakan air bersih mencukupi untuk minum.

“Pastikan tahanan mendapat akses segera kepada rawatan perubatan dan rawatan susulan yang telah dijadualkan,” katanya.

Rama juga mencadangkan Hamzah memulakan pembersihan segera, pembasmian dan penjagaan fasiliti untuk semua tahanan.

Katanya, uji semua tahanan dalam ujian Covid-19 dan tempatkan mereka di dalam tahanan hanya jika keputusan negatif.

“Kami ingin mengingatkan Hamzah bahawa terdapat bukti yang jelas
mengenai kelemahan yang serius ini yang mengancam tahap kesihatan dan kebajikan para tahanan dan kakitangan.

“Kami menggesa agar menteri mengambil langkah segera,” katanya.