Covid-19: Satelit dakwa berjaya rakam imej kubur besar-besaran di Iran

Melihat kepada perluasan mendadak kawasan perkuburan membuatkan ramai persoal mengenai angka kematian sebenar lebih tinggi daripada yang diumumkan. (Gambar satelit Google)

Selepas China dan Itali yang mencatatkan peningkatan angka kematian, kini Iran pula dilaporkan semakin meningkat.

Menurut laporan Anadolu Agency angka kematian akibat Covid-19 di Iran meningkat kepada 611 manakala Kementerian Kesihatan negara itu mengesahkan 12,729 kes jangkitan setakat ini.

Dan ketika pihak pemerintah Iran sedang berusaha mencari jalan untuk menangani ancaman krisis kesihatan itu dalam kadar segera, The Washington Post mengeluarkan satu laporan lain.

Ia mengenai dakwaan rakaman imej satelit yang berjaya diperoleh, menunjukkan sebuah lokasi yang dipercayai merupakan sebuah tapak perkuburan besar-besaran, yang digali untuk menanam mayat korban Covid-19 di Iran.

Imej yang berjaya dirakam satelit, menyaksikan kerja-kerja mengorek tanah dikatakan mula dibuat pada 21 Februari lalu sebelum ia kelihatan semakin besar dan luas. (Gambar satelit Google)

Dalam laporannya, The Washington Post mendakwa 2 hari selepas Tehran mengumumkan kes jangkitan pertamanya, terdapat bukti menunjukkan berlakunya “aktiviti luar biasa” di Behesht-e Masoumeh iaitu sebuah kawasan perkuburan yang terletak berhampiran dengan Qom, lokasi kes jangkitan tersebut mula dikesan.

Melihat kepada imej yang berjaya dirakam satelit, difahamkan kerja-kerja mengorek tanah dikatakan mula dibuat pada 21 Februari lalu sebelum ia kelihatan semakin besar dan luas seiring dengan peningkatan bilangan jangkitan dan kematian di negara itu.

Laporan ini sekali gus menimbulkan persoalan, adakah pemerintah Iran menyembunyikan angka rasmi kematian akibat Covid-19 di negara itu?

Melihat kepada perluasan secara mendadak kawasan perkuburan itu, ada yang mendakwa bahawa jumlah kematian sebenar adalah lebih tinggi daripada apa yang diumumkan Tehran sebelum ini.

Anda ada berita menarik untuk dikongsi? Sila email ke [email protected]