Malaysia catat kematian ke-2 akibat Covid-19

Adham Baba bercakap pada sidang media harian Covid-19 di Kementerian Kesihatan, Putrajaya hari ini.

PUTRAJAYA: Menteri Kesihatan, Dr Adham Baba mengumumkan 2 kematian Covid-19 di Malaysia setakat ini.

Kematian pertama membabitkan kes ke-358 yang merupakan seorang pastor berusia 60 tahun di Sarawak dengan sejarah penyakit kronik.

Adham berkata, pesakit itu mula mengalami gejala demam, batuk dan kesukaran bernafas pada 7 Mac lalu dan dirawat di Hospital Umum Sarawak pada 14 Mac selepas dikesan positif virus itu.

“Keadaan beliau merosot dan dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU). Beliau disahkan meninggal dunia hari ini (11 pagi tadi),” katanya pada sidang media harian Covid-19 di Kementerian Kesihatan hari ini.

Beliau berkata, pesakit kedua meninggal dunia ialah lelaki tempatan berusia 34 tahun dalam kes ke-178 yang menyertai ijtimak tabligh di Masjid Sri Petaling pada 27 Feb hingga 1 Mac lalu.

“Beliau mula mengalami gejala mulai 5 Mac dan mendapat rawatan di Hospital Permai, Johor Bahru pada 12 Mac setelah dikesan positif Covid-19.

“Keadaan beliau merosot dan dimasukkan ke ICU.”

Adham berkata, 120 kes baru dilaporkan hari ini, menjadikan keseluruhan 673 kes positif Covid-19 dengan 7 pesakit sembuh sepenuhnya.

Beliau berkata, 95 daripada 120 kes baru itu mempunyai kaitan dengan kluster Masjid Sri Petaling, menjadikan keseluruhan pesakit kluster itu meningkat kepada 428 kes.

Kira-kira 16,000 jemaah, termasuk 1,500 warga asing dilaporkan menghadiri perhimpunan tabligh itu.

Adham turut menasihatkan orang ramai mematuhi perintah kawalan pergerakan yang diumumkan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin semalam dan mereka yang melanggar perintah itu akan dikenakan tindakan.

“Kesalahan pertama boleh dipenjarakan tidak melebihi 2 tahun atau didenda, atau kedua-duanya.

“Kesalahan ke-2 atau berikutnya boleh dipenjarakan tidak melebihi 5 tahun atau didenda, atau kedua-duanya.”

Semalam, Muhyiddin mengumumkan pengharaman perhimpunan besar-besaran untuk kegiatan agama, sukan, sosial dan kebudayaan, manakala sekolah, pejabat kerajaan dan premis perniagaan ditutup mulai esok hingga 31 Mac ini.

Hanya perkhidmatan asas, pasar raya, pasar awam, kedai runcit dan pasar mini dibenarkan beroperasi.

“Setiap individu perlu menjadi rakyat Malaysia yang bertanggungjawab dan menjalankan peranan masing-masing untuk membantu kerajaan membendung penularan Covid-19.”